- Iklan -
Berita

PN, BN dan PBS setuju elak bertembung dalam PRN Sabah

Semalam, media melaporkan PN mengumumkan bertanding di 29 kerusi pada PRN Sabah dan berkemungkinan besar bertembung dengan BN di tiga kawasan iaitu Paginatan, Tulid dan Sook.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Former deputy prime minister Ahmad Zahid Hamidi. Photo: Bernama
Former deputy prime minister Ahmad Zahid Hamidi. Photo: Bernama

Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) hari ini bersetuju secara konsensus untuk mengelak pertembungan calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi yang juga presiden Umno berkata semua parti terlibat juga bersetuju membentuk solidariti bagi menghadapi PRN Sabah secara bersama.

“Pengumuman (calon) diadakan semalam nampak pertembungan sesama sendiri dan ini akan diselesaikan sesegera yang mungkin,” katanya kepada pemberita di Kota Kinabalu hari ini.

Terdahulu beliau menghadiri majlis perjumpaan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bersama lebih 20 pemimpin daripada BN, PN dan PBS di sebuah hotel di sini.

Semalam, media melaporkan PN mengumumkan bertanding di 29 kerusi pada PRN Sabah dan berkemungkinan besar bertembung dengan BN di tiga kawasan iaitu Paginatan, Tulid dan Sook.

Sementara itu, Zahid berkata semua parti itu juga setuju untuk melancarkan “Aku Janji” secara bersama pada Hari Malaysia, 16 Sept ini bagi memberitahu tawaran buat rakyat Sabah sekiranya gabungan itu menang PRN Sabah.

“Aku Janji itu tawaran baharu untuk Sabah terutama pengundi-pengundi dan persetujuan bersama parti-parti ini akan dimuktamadkan,” katanya.

Selain itu katanya, semua parti yang terlibat akan mengkoordinasi gerak kerja antara parti secara bersama supaya tugas dalam PRN Sabah dapat dijalankan dengan sempurna.

Dalam pada itu, Presiden Star Dr Jeffrey Kitingan berkata antara inti pati perjumpaan itu adalah mengenai mewujudkan satu jawatankuasa penyelaras dalam menghadapi PRN Sabah.

Katanya perkara itu disambut baik semua yang hadir dalam usaha memantapkan lagi kerjasama antara semua parti dengan satu agenda iaitu memenangi pilihan raya itu.

“Amanat (Muhyiddin) memberikan kita semangat untuk kerjasama dan pastikan kita menang,” katanya.