- Iklan -
Berita

Pemuda PAS berperanan penting tingkat kesedaran politik belia, kata Hadi

Hadi turut berkata PAS perlu mengukuhkan lagi kedudukan perjuangan parti yang berteraskan Islam untuk mendapat mandat rakyat secara langsung melalui Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Presiden PAS Abdul Hadi Awang menggesa sayap Pemuda parti itu agar memainkan peranan dalam meningkatkan kesedaran politik golongan belia. Gambar: Bernama
Presiden PAS Abdul Hadi Awang menggesa sayap Pemuda parti itu agar memainkan peranan dalam meningkatkan kesedaran politik golongan belia. Gambar: Bernama

Sayap Pemuda memegang peranan penting untuk meningkatkan fahaman politik dalam kalangan umat Islam khususnya golongan belia memandangkan mereka merupakan pengundi terbesar menentukan kerajaan melalui pilihan raya, kata Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata ini berikutan fahaman politik dalam kalangan umat Islam terutamanya anak muda, sangat lemah berbanding kaum lain.

“Walhal, Islam mewajibkan politik dalam perjuangannya tetapi kerana jahil agama, kita meninggalkan kewajipan yang besar ini. Semua nabi dan rasul tidak memisahkan politik daripada dakwah.

“Apa yang dilupakan ini menyebabkan undi kita kepada umat Islam sangat lemah kerana lemahnya fahaman politik, khususnya orang muda yang menjadi sasaran musuh-musuh Islam untuk mengheret mereka dengan kelekaan.

“Maka peranan Pemuda (PAS) sangat besar dan penting (dalam hal ini),” katanya berucap pada sesi perbahasan Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) ke-61 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik), di Pengkalan Chepa, dekat Kota Bharu hari ini.

Hadi turut berkata PAS perlu mengukuhkan lagi kedudukan perjuangan parti yang berteraskan Islam untuk mendapat mandat rakyat secara langsung melalui Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Muktamar DPPM ke-61 yang dihadiri kira-kira 400 perwakilan dari seluruh negara itu diadakan dalam suasana norma baharu dengan perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Terdahulu semasa merasmikan persidangan itu,  Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata golongan belia semakin muak dengan situasi politik semasa sehingga mengakibatkan sebilangan mereka tidak lagi mengambil peduli mengenai perkembangan politik negara.

“Dalam menghadapi cabaran politik yang apa disebut carcamarba mutakhir ini menyebabkan suatu polemik baru dalam kalangan mereka. Menurut kajian, 23 peratus mendapati pemuda telahpun rasa muak dengan situasi politik waktu ini,” katanya.

Beliau berkata perkara itu tidak menguntungkan mana-mana pihak kerana pemuda adalah pelapis pemimpin pada masa depan, justeru PAS, terutamanya DPPM harus menterjemahkan situasi politik yang sebenar menggunakan media baru di samping menekankan agenda utama parti yang mengamalkan prinsip perpaduan semua kaum dan agama.