- Iklan -
Berita

Pengundi Sabah kesal dengan wakil rakyat lompat parti

Beliau berkata tindakan melompat parti dalam kalangan pemimpin tempatan selepas diberi mandat pada pilihan raya adalah perbuatan tidak berintegriti dan tidak memikirkan nasib rakyat.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Mahkamah Rayuan menolak permohonan 33 Adun untuk cabar pembubaran DUN Sabah. Gambar: Bernama
Mahkamah Rayuan menolak permohonan 33 Adun untuk cabar pembubaran DUN Sabah. Gambar: Bernama

Tabiat suka melompat parti yang diamalkan sesetengah ahli politik selepas mereka dipilih sebagai wakil rakyat dan memenangi kerusi dalam pilihan raya mendapat reaksi negatif rakyat Sabah yang mahukan sikap seperti itu dihentikan.

Pengundi yang ditemui Bernama bukan sahaja melahirkan rasa kecewa dengan tabiat seperti itu malah mereka juga meminta ahli politik yang mempunyai niat untuk melompat parti selepas menang dalam pilihan raya agar tidak bertanding atau menjadi wakil rakyat.

Bagi pengundi di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Api-Api, Gil Tupang, 63, amalan “katak politik” ini merupakan tindakan seorang pemimpin berjiwa kecil.

“Saya tidak minat lagi nak mengundi, saya tahu itu salah (tindakan tidak mengundi) tetapi saya kecewa mereka buat undi kami seperti tiada harga.

“Perasaan tu sebaklah, kita bagi dia harapan, dia kasi kita pelbagai janji sewaktu meminta undi, akhirnya apabila menang, tinggalkan kami, saya sangat kecewa,” katanya.

Beliau berkata tindakan melompat parti dalam kalangan pemimpin tempatan selepas diberi mandat pada pilihan raya adalah perbuatan tidak berintegriti dan tidak memikirkan nasib rakyat.

“Susah, kita dah pilih, mereka lompat pula, seolah-olah undi kita tiada makna, tiada harga, kita pilih mereka untuk menjaga kita, tetapi apabila sudah dipilih, kita pula ditinggalkan, mereka lompat ke sebelah,” katanya.

Pengundi DUN Kudat, Husin Wahab, 65, pula berkata perbuatan itu adalah satu tindakan mementingkan diri sendiri yang cukup menyusahkan rakyat Sabah.

“Saya sangat tidak suka golongan lompat parti ini, tindakan mereka ini menggoncang kestabilan politik, menyusahkan rakyat dan paling teruk, mengganggu ekonomi.

“Perangai katak politik ini juga menyebabkan ada rakyat sudah tidak berminat untuk mengundi lagi kerana merasakan undi mereka seolah-olah tiada apa-apa nilai,” katanya dalam nada kecewa.

Rajali Hamzah Asmat, 40, pula berharap budaya lompat parti di negeri itu dapat dihapuskan terutama selepas PRN Sabah ke-16 yang berlangsung pada 26 Sept ini.

“Buat parti yang menang nanti, teruskan buat kerja dengan amanah dan demi kebaikan, fikirkan soal rakyat, tetapi jika ada rasa mahu lompat juga, dari sekarang baik tidak payah bertanding,” katanya.

Peniaga di Tamu Jalan Gaya, Zulkifli Ab Rauf, 39, sedih kerana menggangap budaya lompat parti dalam kalangan pemimpin politik di Sabah seolah-olah mempermainkan rakyat.

“Dia bagi kita harapan, dia kasi kita pelbagai janji, akhirnya tiada apa-apa, kecewa bah,” katanya.

Lee Yuit, 63, pula menyifatkan seorang calon dan parti yang mereka wakili sepatutnya akrab bagaikan satu keluarga besar dan seharusnya kekal bersama di saat meraih kemenangan mahupun menanggung kekalahan.

“Jadi menang atau kalah, anda sepatutnya kekal bersama keluarga, jangan tukar,” katanya.

 

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.