Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor Ayub Jamil berkata tindakan itu akan diambil jika pembuangan sampah haram di lokasi itu masih berlaku walaupun pemilik tanah sudah diberikan nasihat dan ingatan oleh pihak berkuasa.
Katanya pada tahun ini sahaja 189 lokasi pembuangan sampah haram dikenal pasti di daerah Johor Bahru dan Iskandar Puteri, dengan 88 daripadanya merupakan lokasi pembuangan sampah haram berulang.
“Denda dan perbicaraan di mahkamah telah dilakukan, tetapi jika Majlis Bandaraya dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) telah beri nasihat, namun kes terus berulang dan boleh beri kesan jangka panjang kepada alam sekitar, maka tindakan merampas akan dilaksanakan, selaras dengan Kanun Tanah Negara,” katanya.
Ayub berkata demikian kepada pemberita selepas Program World Cleanup Day Peringkat Kebangsaan 2020 yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Dr Ismail Abd Muttalib di Kampung Pendas Baru, Gelang Patah, hari ini.
Sementara itu Ismail ketika diminta mengulas sama ada kementeriannya akan meningkatkan lagi hukuman supaya orang awam tidak berani membuang sampah di merata-rata berkata, pihaknya akan meneliti akta-akta yang wajar dipinda.
“Kita akan melihat keseluruhan akta yang ada dalam kementerian. Yang mana wajar, kita pinda demi menguatkuasakan undang-undang,” katanya.
Menyentuh program hari ini Ismail berkata ia dijalankan serentak di 44 lokasi seluruh negara melibatkan penyertaan seramai 4,512 peserta dari 85 pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Katanya mereka ini akan membersihkan kawasan seperti tempat rekreasi, pantai, tebing-tebing sungai di tujuh buah negeri yang menerima pakai Pengurusan Sistem Pepejal dan Pembersihan Awam (Akta 672), iaitu di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Pahang, Kedah dan Perlis.