Keputusan sebuah parti yang dianggap sudah ditelan zaman meletakkan calon di separuh daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang ini dilihat antara kesan sampingan kemelut antara PKR dan Warisan, menurut beberapa pemerhati politik.
Malah, ada yang melihat kemunculan semula Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno), sebuah parti yang dilahirkan semula pada 2013 selepas direhatkan apabila Umno bertapak di Sabah pada 1990-an, didalangi PKR yang tidak berpuas hati kerana dipaksa menerima kata putus sekutunya Warisan untuk hanya bertanding di tujuh kerusi DUN.
PKR juga merupakan satu-satunya parti dalam Pakatan Harapan (PH) yang tidak menggunakan logo Warisan dalam PRN kali ini walaupun DAP dan Amanah berbuat demikian.
Sebelum ini, Anwar Ibrahim gagal meyakinkan Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal untuk membolehkan PKR meletakkan 14 calon di Sabah dalam gabungan Warisan Plus.
Sumber Warisan memberitahu MalaysiaNow Shafie menolak permintaan PKR kerana yakin Anwar tidak mempunyai pengaruh di Sabah.
“Pada pilihan raya umum lepas, PKR hanya menang dua kerusi daripada lapan kerusi yang ditandingi. Kali ini, Shafie mahu PKR buktikan dulu boleh menang 7 kerusi,” kata sumber itu dengan syarat tidak dinamakan.
Pada PRU14, PKR hanya memenangi kerusi DUN Api-Api dan Inanam daripada lapan yang ditandinginya.
Dalam PRN kali ini, selain kerusi DUN Api-Api dan Inanam, PKR akan bertanding di Tempasuk, Tamparuli, Matunggong, Klias dan Sook.
Hubungan Anwar dan Shafie juga memang tidak begitu baik dan ketua menteri sementara Sabah itu dilihat lebih rapat dengan bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad.
Dr Mahathir juga menamakan Shafie sebagai calon perdana menteri selepas dicadangkan DAP dan Amanah dalam usaha merampas semula kerajaan persekutuan daripada Perikatan Nasional (PN).
Sekiranya Warisan Plus berjaya mengekalkan Sabah pada PRN kali ini, nama Shafie akan terus melonjak naik dan ini membahayakan Anwar.
Nama besar mampu lonjak Usno?
Walaupun sebuah parti kecil, Usno menampilkan beberapa nama besar sebagai calon, termasuk ketua umumnya yang juga bekas speaker Dewan Rakyat, Pandikar Amin Mulia, bekas pengarah Kastam Sabah, Hamzah Sundang, bekas timbalan ketua Cawangan Khas Sabah Ahmad Kenajaan, bekas pengarah kebudayaan Sarawak, Laliman Kemad @ Haji Ahmad dan bekas peguam kanan negeri Sabah, Mohd Salleh Lamsin.
Usno asal merupakan sebuah parti berteraskan etnik Suluk-Bajau di Sabah, pernah berkuasa di bawah Mustapha Harun dan Mohammad Said Keruak, dua nama besar yang melakari politik Sabah pada 1960-an dan 1970an.
Zaman kejatuhannya bermula selepas kebangkitan PBS di bawah Joseph Pairin Kitingan pada 1990-an.
Usno kemudiannya dibubarkan pada 1996 selepas Mustapha mengusahakan kemasukan Umno ke Sabah. Namun ia dihidupkan semula dengan nama Usno Baru pada 2013.
Tanpa pengaruh politik yang pernah dimilikinya satu ketika dulu, ramai beranggapan calon Usno bakal hilang deposit pada PRN akan datang, walaupun dengan barisan personaliti besar.
Bekas ahli Usno, Johari Aklee, 60, berkata tindakan parti itu bertanding dilihat sebagai sengaja untuk memecah belahkan undi bagi semua parti utama yang bertanding.
“Usno memang sengaja masuk bertanding untuk memecah belahkan undi rakyat Sabah secara khususnya dan Bumiputera secara amnya,” katanya kepada MalaysiaNow.
Bagaimanapun, Pandikar yang ditemui di Kota Kinabalu pada 16 Sept lalu menafikan parti itu bekerjasama dengan PKR untuk menggagalkan Warisan Plus.
Ketika ditanya adakah benar PKR berpakat dengan Usno untuk merosakkan undi Warisan dan kerana hubungan baik beliau dengan Anwar ini jawapan yang diberikan:
“Tiada kerjasama dengan PKR. Soalan ini seolah-olah kita membuat perjanjian, kita ‘kaw tim’.
“Saya ada hubungan baik dengan semua pemimpin. Anda mesti ingat saya adalah Yang di-Pertua selama 10 tahun. Semua 222 ahli Parlimen, termasuk perdana menteri, saya adalah bos mereka.
“Kalau kita benar-benar ‘kaw tim’, mengapa kita letakkan calon di mana PKR bertanding seperti di Tempasuk. Usno bebas,” katanya dengan nada marah.
PKR, Usno hanya bertembung di 3 DUN
PKR dan Usno hanya akan bertembung di tiga kerusi DUN iaitu Tempasuk, Inanam dan Klias.
Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail yang ditemui di Kota Kinabalu berkata pertembungan antara partinya dan Usno bukanlah satu isu.
“Saya seru kepada semua pendokong dan penyokong Usno untuk memberikan undi kepada calon-calon PKR di kawasan yang mereka tidak bertanding mereka boleh beri sokongan kepada kami lah.
“Kempen bermakna kita merayu orang, setiap undi itu penting, orang berparti ke atau tidak berparti mereka bebas memilih, undi itu rahsia,” katanya.
Bekas menteri Kabinet itu berkata, hubungan baik Anwar dan Pandikar hanya berbentuk peribadi dan beliau sendiri rapat dengan bekas speaker Dewan Rakyat itu.
“Tetapi dalam konteks pertarungan Pilihan Raya Negeri ini, kami adalah sekutu penting dalam konteks kerjasama Warisan Plus. Itu isu dia.
“Dan kalau ada di sebelah sana dengan pengakuan Usno terjermahkan supaya penyokong-penyokong mereka dapat terjemahkan berikan undi kepada calon PKR dalam pilihan raya kali ini,” katanya.
Pengerusi PKR Sabah Christina Liew pula mengatakan beliau tidak tahu sekiranya terdapat kerjasama antara pimpinan tertinggi parti dan Usno.
“Fokus saya sekarang, saya mau menang, saya hanya fokus kepada kerusi saya sendiri, itu saja,” kata timbalan ketua menteri sementara Sabah yang bertanding di DUN Api-Api itu.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.