Semakin sukar untuk ahli politik menyembunyikan hubungan mereka dengan ahli perniagaan dan penyumbang kerana internet dan media sosial tidak memungkinkannya, kata pemerhati.
Ulasan ini dilakukan selepas tersebar baru-baru ini gambar di media sosial bagaimana pemimpin politik terkemuka berkempen ke Sabah menaiki jet peribadi ahli perniagaan yang terpalit dengan perniagaan meragukan.
Jayum Jawan dari Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata rakyat kini mempunyai akses kepada perkara-perkara yang dahulunya tertutup daripada pengetahuan mereka.
“Ini baru peringkat permulaan.
“Pada masa mendatang, pilihan raya akan jadi lebih terbuka, yang terpilih akan lebih berat tanggungjawab kerana mereka akan sentiasa di mata dan perhatian rakyat,” kata dekan Fakulti Kemanusiaan, Pengurusan dan Sains, UPM itu kepada MalaysiaNow.
Kolumnis dan aktivis politik Hishamuddin Rais baru-baru ini mempersoalkan penglibatan pemimpin politik Pakatan Harapan (PH) dengan ahli perniagaan yang mempunyai sejarah lampau yang buruk.
Sedangkan janji ke-18 dalam manifesto PH pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) menyebutkan gabungan itu akan mewujudkan mekanisme pembiayaan politik yang berintegriti.
Menurut buku manifesto itu, kerajaan PH akan memastikan pendanaan politik negara telus dan bebas dari sumber-sumber yang merupakan rasuah di peringkat tertinggi.
Dalam tulisan disiarkan di blognya, Hishamuddin mendedahkan bagaimana beliau terkejut apabila mendapat tahu majlis berbuka puasa bekas menteri pertahanan, Mohamad Sabu yang diadakan di Hotel Hilton, Petaling Jaya dua minggu selepas PH mengalahkan Barisan Nasional (BN) pada PRU14, ditaja ahli perniagaan kontroversi Abdullah Ang.
Mohamad yang juga presiden Amanah dikatakan turut bergambar dan memberikan ucapan terima kasih di atas pentas bersama-sama Ang pada malam itu.
“Bila mendengar nama itu disebut. Dengan cepat mulut saya mencarut dari bahasa Melayu, ke bahasa Inggeris, ke bahasa Urdu, ke bahasa Perancis, ke bahasa Sepanyol, ke bahasa Bengali.
“Dengan sekelip maya saya menjadi kurang ajar. Menjadi kurang sopan dalam majlis yang dilihat beriman. Beberapa biji mata yang hampir dengan meja saya memandang Hishamuddin Rais yang sedang buat perangai. Hishamuddin Rais kurang hajar dan kurang sopan dan tidak tahu adat majlis,” tulis bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) itu dalam blog popularnya Tukartiub.
Ang merupakan bekas ketua eksekutif Perbadanan Pelaburan Luar Negara Malaysia (MOIC) yang mempunyai ramai kenalan dalam kalangan pemimpin dan pegawai kanan kerajaan.
Beliau dijatuhkan hukuman lapan tahun penjara dan didenda RM100,000 oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 15 Disember 1986 (diringankan selepas pengakuan mitigasi). Ang mengaku bersalah atas tuduhan pecah amanah berjumlah RM338,808.80.
Pada Ogos 1989, akhbar Malay Mail melaporkan Ang mendapat layanan “super VVIP” ketika menjalani hukuman di Penjara Kajang.
Laporan akhbar itu turut mendedahkan biliknya dilengkapi dengan peti sejuk, permaidani, pemain video dan “ waterbed”. Ang juga dilaporkan mempunyai akses keluar dan masuk kawasan penjara seolah-olah dirinya empunya tempat itu.
Dua tahun sebelum tarikh pembebasannya, Ang dilihat berlegar di sekitar Kuala Lumpur memakai t-shirt dan sepasang seluar putih. Abdullah juga dilihat berada di kilang pakaian milik keluarganya tanpa keberadaan pegawai penjara, warden dan kakitangan penjara semasa lawatannya.
MalaysiaNow cuba menghubungi Ang dan Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu untuk mendapat pengesahan dan penjelasan mengenai perkara ini masih belum berjaya.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.