Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata, PBB boleh dikatakan gagal untuk menyelamatkan beberapa generasi pewaris daripada kesengsaraan akibat peperangan.
“Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu terus kekal sebagai satu-satunya institusi global yang kita anggap milik semua.
“Walaupun kita akui yang organisasi ini agak baik dalam banyak perkara di sepanjang 75 tahun penubuhannya, terutamanya dalam mempromosikan pembangunan sosial dan ekonomi, kita perlu jujur dan mengakui yang PBB boleh dikatakan gagal menyelamatkan beberapa generasi pewaris daripada kesengsaraan peperangan,” katanya.
Muyhiddin berkata demikian ketika menyampaikan pendirian rasmi Malaysia di mesyuarat peringkat tinggi Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) bersempena ulang tahun ke-75 UNGA.
Ini merupakan ucapan sulung Muhyiddin di UNGA sejak menjadi perdana menteri Malaysia pada Mac tahun ini.
Mesyuarat ini dilaksanakan secara maya disebabkan pandemik Covid-19 dan ucapannya itu diprarakamkan di pejabatnya di Putrajaya.
Perdana menteri berkata PBB kini amat diperlukan, dan ia seharusnya sudah cukup lengkap – bukan hanya dari segi kebebasan politik, tetapi juga dari segi sokongan berterusan negara anggota dalam menampilkan respons terhadap sebahagian daripada masalah besar yang dihadapi dunia.
Muhyiddin berkata inilah masanya untuk PBB menilai semula pencapaiannya; memperbaiki kelemahan dan menghapuskan kesemua rintangan yang menghalang kemajuannya berterusan.
Beliau berkata Malaysia mengalu-alukan penerimaan deklarasi untuk memperingati Ulang Tahun ke-75 PBB hari ini.
“Sejujurnya kami percaya dalam memperingati ulang tahun ini, ia menampilkan peluang keemasan kepada komuniti antarabangsa untuk melakukan yang lebih baik. Jangan kita melepaskan peluang ini. Mari kita bergerak ke hadapan bersama dalam membina masa hadapan yang kita mahukan, dan PBB yang kita perlukan,” katanya.
Muhyiddin juga menyuarakan kebimbangan yang sejak beberapa tahun lepas, negara-negara tertentu dilihat tidak mengendahkan penjanjian PBB.
Beliau berkata sebagai contoh Perjanjian Paris merupakan satu pencapaian terbaik oleh negara-negara dalam menangani perubahan cuaca – satu kemuncak kepada usaha antarabangsa yang bermula di Rio Earth Summit pada tahun 1992.
“Kami juga mempunyai sejumlah instrumen dan konvensyen mengenai hak asasi manusia yang kebanyakannya mengambil tempoh beberapa tahun untuk dirumuskan. Instrumen sedemikian mengatur dan menentukan tindakan kita, dalam membolehkan kita terus maju.
“Bagaimanapun, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, beberapa negara mengabaikan perjanjian itu. Kita berharap ini dapat dihentikan. Kita perlu perhatikan apa yang dikehendaki dan yang diharapkan oleh orang ramai,” katanya.
Sementara itu katanya awal tahun ini, PBB melancarkan inisiatif UN75, mengajak orang ramai di seluruh dunia berkongksi aspirasi dan harapan serta keutamaan untuk masa hadapan, dengan hampir 40,000 orang menjawab tinjauan UN75 itu dalam tempoh tiga bulan pertama ia dilancarkan.
Walaupun intepretasi terhadap penemuan tinjauan itu mungkin berbeza mengikut keadaan di negara masing-masing, mesej dan perkara yang dikongsi oleh orang ramai adalah jelas.
“Ini bukan bermakna yang komuniti antarabangsa tidak mengambil endah terhadap isu itu, sebaliknya kita sudah bekerja keras mengusahakannya sejak bertahun-tahun lamanya,” katanya.
Muhyiddin seterusnya mengucapkan tahniah kepada Volkan Bozkir dari Turki atas pemilihannya sebagai Presiden Sesi ke-75 UNGA bertemakan ‘The Future We Want, the United Nations We Need: Reaffirming Our Collective Commitment To Multilateralism – Confronting Covid-19 Through Effective Multilateral Action’.
Perdana menteri turut menyampaikan ucapan terima kasih Malaysia kepada Tijjani Muhammad-Bande dari Nigeria atas komitmen dan kepimpinannya sewaktu sesi ke-74 UNGA yang amat mencabar akibat pandemik Covid-19.