- Iklan -
Berita

Arab Saudi tarik balik larangan mengerjakan umrah

Mulai 4 Oktober, Arab Saudi dan penduduk asing dibenarkan menunaikan umrah dengan kapasiti 30 peratus atau 6,000 jemaah sehari.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Arab Saudi menarik kembali larangan mengerjakan umrah disebabkan Covid-19. Gambar: Wikipedia
Arab Saudi menarik kembali larangan mengerjakan umrah disebabkan Covid-19. Gambar: Wikipedia

Mulai awal Oktober Arab Saudi akan menarik balik larangan perjalanan secara beransur-ansur bagi membolehkan ibadah umrah dilaksanakan, lapor Agensi Anadolu.

Menurut agensi berita rasmi Arab Saudi pada Rabu, keputusan untuk membenarkan kembali ibadah Umrah itu dibuat selepas hampir enam bulan larangan dikenakan berikutan penularan wabak Covid-19.

Mulai 4 Oktober, Arab Saudi dan penduduk asing dibenarkan menunaikan umrah dengan kapasiti 30 peratus atau 6,000 jemaah sehari, lapor Agensi Berita Arab Saudi (SPA) memetik sumber di Kementerian Dalam Negeri.

Sementara itu bermula 18 Oktober, seramai 15,000 jemaah sehari boleh mengerjakan umrah dan menunaikan solat di Masjid Nabawi di Madinah.

Agensi itu mengatakan kebenaran untuk jemaah antarabangsa pula akan bermula pada 1 November.

Mulai 1 November juga Masjidil Haram dan Masjid Nabawi akan dibuka pada kapasiti penuh dengan melaksanakan langkah-langkah pencegahan Covid-19.

“Sumber rasmi di Kementerian Dalam Negeri menegaskan langkah itu diambil dengan memastikan aspek pencegahan dan penjarakan sosial dipenuhi untuk keselamatan semua,” kata SPA di Twitternya.

Berikutan pandemik itu, jemaah haji tahun ini terhad kepada mereka yang tinggal di Arab Saudi dan jemaah dari luar negara tidak dibenarkan.

Virus Covid-19 sudah merebak ke 188 negara dan wilayah sejak pertama kali muncul di Wuhan, China pada Disember, dengan Amerika Syarikat, India dan Brazil antara negara paling teruk terjejas.

Lebih 31.45 juta kes dilaporkan di seluruh dunia. Angka korban melebihi 967,300, sementara 21.58 juta orang pulih, menurut data Johns Hopkins University.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.