Peguam Atiqa Nazihah Azmi yang mewakili Ahmad, 54, memaklumkan kepada Pesuruhjaya Kehakiman Muhammad Jamil Hussin pihaknya memfailkan notis penarikan balik rayuan pada 3 Ogos lepas.
Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat mengesahkan pihaknya menerima notis penarikan balik rayuan berkenaan dan tidak membantah permohonan itu.
Muhammad Jamil kemudian membatalkan rayuan Ahli Parlimen Pontian itu.
Ketika ditemui pemberita di luar mahkamah, Atiqa Nazihah berkata penarikan balik rayuan itu dibuat berikutan pihaknya sebelum ini memfailkan permohonan semakan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen itu di Mahkamah Tinggi, yang kemudiannya didengar serta diputuskan oleh Pesuruhjaya Kehakiman Aslam Zainuddin.
Pada 14 Ogos lepas, Aslam menolak permohonan Ahmad untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen pada 24 Julai lepas, yang tidak membenarkan beliau dibebaskan daripada dua pertuduhan itu, selepas mendapati tiada kesilapan oleh Mahkamah Sesyen dalam menolak permohonan bekas timbalan menteri kewangan itu untuk membatalkan pertuduhan terhadapnya.
Ahmad didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan cara tidak melaporkan pendapatan sebenar berjumlah RM2 juta yang diterima daripada bekas perdana menteri itu kepada LHDN dalam Borang Nyata Cukai Pendapatan Bagi Tahun Taksiran 2013 yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967.
Beliau dituduh menerima wang itu, yang dipercayai sebagai hasil daripada aktiviti yang menyalahi undang-undang, melalui cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 Nov 2013, dan cek berkenaan ditunaikan sendiri oleh Ahmad, pada hari sama.
Ahmad didakwa melakukan perbuatan itu di LHDN, Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di Kuala Lumpur, pada 30 April 2014.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, Ahmad didakwa memberi penyataan palsu kepada SPRM semasa percakapannya dirakam pegawai penyiasat SPRM iaitu Ketua Penolong Kanan Penguasa Mohd Zairi Zainal, berhubung isu itu di bilik sidang media, Bangunan Parlimen, Jalan Parlimen, di sini antara 2.45 petang hingga 3.30 petang pada 4 Julai 2019.
Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 32(8)c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.