- Iklan -
Berita

Episod Al-Jazeera beri isyarat pengaruh Saudi kembali ke Putrajaya

Usaha giat sedang dijalankan Arab Saudi untuk mengidupkan semula pengaruhnya di Malaysia.

Staff Writers
3 minit bacaan
Kongsi
Warga Bangladesh Md Rayhan Kabir diusir keluar dan disenarai hitam daripada memasuki Malaysia untuk selama-lamanya pada 21 Ogos lalu selepas membuat dakwaan berhubung layanan pihak berkuasa Malaysia kepada pendatang tanpa izin, ketika PKP, bagi membanteras penularan Covid-19 dalam satu dokumentari terbitan saluran berita antarabangsa Al-Jazeera yang bertajuk 'Locked Up In Malaysia Lockdown'. Gambar: Bernama
Warga Bangladesh Md Rayhan Kabir diusir keluar dan disenarai hitam daripada memasuki Malaysia untuk selama-lamanya pada 21 Ogos lalu selepas membuat dakwaan berhubung layanan pihak berkuasa Malaysia kepada pendatang tanpa izin, ketika PKP, bagi membanteras penularan Covid-19 dalam satu dokumentari terbitan saluran berita antarabangsa Al-Jazeera yang bertajuk 'Locked Up In Malaysia Lockdown'. Gambar: Bernama

Tindakan tegas Putrajaya terhadap saluran berita antarabangsa berpangkalan di Qatar, Al Jazeera sebagai isyarat lobi kerajaan Arab Saudi yang dahulunya kuat, kembali berpengaruh terhadap dasar kerajaan Malaysia.

Sumber diplomatik memberitahu MalaysiaNow, terdapat usaha menekan pihak berkuasa supaya bertindak tegas terhadap Al Jazeera berhubung satu dokumentari mengenai layanan diterima pendatang tanpa izin di Malaysia menyebabkan tindakan diambil terhadap kakitangan saluran berita itu.

Al Jazeera dibiayai kerajaan Qatar yang kini sedang berdepan perang dingin dengan Riyadh dan sekutu Teluknya, mengecam siasatan yang dijalankan polis Malaysia terhadap pasukan wartawan saluran itu berhubung dokumentari pada Julai yang disiarkan 101 East.

Dokumentari bertajuk “Locked Up in Malaysia’s Lockdown” menyiasat nasib ribuan pekerja asing tanpa dokumen yang ditangkap semasa serbuan di Kuala Lumpur meskipun terdapat jaminan awal pihak berkuasa tidak ada operasi imigresen terhadap pekerja asing semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) – perintah berkurung versi Malaysia bertujuan mengengkang penularan wabak Covid-19.

Putrajaya mengkritik dokumentari itu, mengatakan ianya tidak tepat, menipu dan tidak adil. Rentetan itu polis membuka siasatan atas dakwaan hasutan, fitnah dan pelanggaran undang-undang media.

Seorang wanita membaca laman sesawang Al Jazeera di telefonnya.

“Keseluruhan episod melibatkan Al Jazeera di Malaysia menunjukkan kembalinya pengaruh Arab Saudi terhadap dasar-dasar negara Islam penting di Asia Tenggara,” kata sumber yang rapat dengan kumpulan diplomatik di Kuala Lumpur.

Seorang diplomat kanan Timur Tengah, yang enggan dinamakan memberitahu MalaysiaNow terdapat “usaha giat Arab Saudi” menghidupkan semula pengaruhnya di Malaysia.

Perselisihan Al Jazeera dengan pihak berkuasa Malaysia bukanlah yang pertama dengan kerajaan Islam di seluruh dunia, terutamanya dengan negara sekutu Riyadh dari segi politik dan mazhab.

Saluran berita itu diharamkan di Mesir disebabkan liputan meluas protes popular yang menggulingkan rejim tentera pada tahun 2011. Al Jazeera dituduh menyebarkan berita palsu. Ia juga diharamkan di UAE, sekutu utama pakatan pro-Washington di teluk yang dipimpin Riyadh.

Arab Saudi sejak sekian lama menapak dalam masyarakat Islam di seluruh dunia, dan Malaysia tidak terkecuali.

Sekitar tahun 80-an, pusat-pusat Islam dan sekolah-sekolah Islam ditaja dengan dengan “wang minyak” bagi menyebarkan ajaran cenderung kepada Wahhabisme, doktrin yang menguasai Arab Saudi selama hampir satu abad.

Kemuncak kepada pengaruh Arab Saudi di Malaysia ialah pada zaman Najib Razak sebagai perdana menteri.

Akan tetapi, hubungan rapat dengan Arab Saudi berakhir selepas jatuhnya Najib pada tahun 2018, dengan kerajaan Dr Mahathir Mohamad mengambil pendirian yang lebih kritikal terhadap dasar negara itu di Timur Tengah.

Selain itu kerajaan pimpinan Dr Mahathir menarik semula tentera Malaysia yang terlibat dalam peperangan antara Arab Saudi dan Yaman. Tindakan Dr Mahathir itu menggembalikan Malaysia kepada dasar berkecuali yang dipegang sejak negara ditubuhkan.

Pengkritik memberi amaran sebelum ini mengenai birokrasi Muslim Malaysia bergerak ke arah aliran Islam Wahhabi dipromosikan para sarjana Arab Saudi, hasil hubungan Arab Saudi-Malaysia yang berkembang.

Sebahagiannya disebabkan keperluan Putrajaya menjaga hubungan rapat bagi mendapatkan kuota haji tahunan yang lebih besar.

Akan tetapi penutupan Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP) – dilihat sebagai inisiatif Riyadh untuk meluaskan pengaruh dalam kalangan negara Islam pada 2018, mengeruhkan hubungan antara dua negara.

Hubungan direnggangkan lagi dengan persidangan KL Summit pada 2019, di mana tiga musuh terbesar Riyadh – Iran, Turki dan Qatar – berkumpul di Kuala Lumpur, menaikkan lagi kemarahan Arab Saudi.

Akan tetapi tidak begitu mudah bagi Arab Saudi yang sekutu rapatnya menjalinkan hubungan diplomatik dengan Israel baru-baru ini untuk menghidupkan semula pengaruhnya di Malaysia.

“Perkembangan itu (hubungan lebih erat dengan Israel) menjejaskan nama baik Saudi di dunia Sunni,” kata seorang diplomat Asia Tengah kepada MalaysiaNow.

* Nur Hasliza Mohd Salleh turut menyumbang dalam laporan ini.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.