- Iklan -
Berita

5 topik panas sepanjang kempen PRN Sabah

Semua pihak semakin agresif berkempen 2 hari menjelang PRN.

Fazreen Kamal
3 minit bacaan
Kongsi
Tinggal dua hari sebelum rakyat Sabah memilih kerajaan negeri yang baru.
Tinggal dua hari sebelum rakyat Sabah memilih kerajaan negeri yang baru.

Calon-calon dan parti politik yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah semakin agresif berkempen ketika tinggal dua hari lagi rakyat akan memilih kerajaan negeri yang dirasakan dapat memberikan kesejahteraan terhadap kehidupan mereka.

Terdapat pelbagai cara digunakan dalam berkempen termasuk menggunakan sentimen memupuk kebencian terhadap lawan mereka.

Antara isu panas yang berlegar sepanjang kempen PRN Sabah ke-16 kali ini ialah pemberian geran tanah, isu “Sabah for Sabahan” atau Sabah untuk rakyat Sabah, insiden pencerobohan pengganas Sulu di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada 2013, isu bekalan air bersih dan pembangunan ekonomi rakyat Sabah.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, Warisan menjanjikan dalam manifesto mereka untuk memberikan geran tanah kepada rakyat Sabah.

Ketua Menteri Sementara Sabah yang juga calon Warisan bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Senallang, Mohd Shafie Apdal. Gambar: Bernama

Geran tanah menjadi isu panas meskipun wujudnya perlindungan jelas di dalam undang-undang berhubung hal berkenaan di saat-saat akhir hari membuang undi PRN Sabah semakin hampir, semakin sensitif isu hak tanah diperkatakan semua calon.

MalaysiaNow difahamkan, Mohd Shafie Apdal sendiri menjelajah ke setiap daerah untuk memberikan geran tanah selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada 30 Julai lalu.

Menurut pejabat ketua menteri Sabah, sebanyak 10,686 geran pemilikan tanah anak negeri sudah diserahkan sepanjang menjadi kerajaan selama 26 bulan.

Sabah for Sabahan

Isu ini mula dimainkan sejak awal kempen bermula apabila semua parti yang bertanding masing-masing mengatakan “hanya parti yang asal usulnya dari Sabah sahaja layak untuk menang dan perjuangkan nasib rakyat Sabah”.

Kempen seperti ini digunakan parti seperti Usno, Upko, Warisan dan juga Umno yang berada dalam Barisan Nasional (BN).

Umno Sabah berkata, mereka menerima kuasa autonomi daripada presiden parti, Ahmad Zahid Hamidi.

Umno Sabah mengatakan mereka diberikan autonomi daripada Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi. Gambar: Bernama

BN mengatakan, Warisan bukanlah parti Sabah yang asli kerana tetap ada penyertaan DAP, PKR dan Amanah dalam gabungan Warisan Plus.

Slogan kempen yang disebarkan ialah “satu undi untuk Warisan bermakna anda undi DAP”.

Manakala bagi Warisan pula, Umno merupakan parti berasaskan semenanjung dan bukanlah sebuah parti yang akan memperjuangkan rakyat Sabah.

Sementara Usno pula yang sebelum ini dibubarkan dan ditubuhkan semula menegaskan mereka lah parti asli Sabah kerana asas penubuhannya juga adalah dari Sabah.

Pencerobohan Kg Tanduo, Lahad Datu

Isu ini menjadi hangat sehari sebelum hari pengundian awal pada 22 Sept selepas calon Warisan, Mohamaddin Ketapi dikatakan mempersenda anggota keselamatan yang terbabit dalam pertempuran di Tanduo.

Kenyataan bekas menteri Kabinet itu ternyata memakan dirinya sendiri apabila semua pihak “melompat” dan marahkan Mohamaddin kerana bercakap tanpa memikirkan perasaan keluarga mangsa yang terkorban.

Bekas menteri dalam negeri ketika insiden itu, Zahid dalam satu kenyataan membidas permohonan maaf dikemukakan Mohamaddin dan menyifatkan ia satu penghinaan dan tiada adab.

Dalam satu video tular di media sosial, Mohamaddin menerusi ucapan semasa berkempen sebagai calon DUN Segama mengatakan serta menganggap anggota-anggota keselamatan sebenarnya bukan “berperang” dengan pengganas sebaliknya hanya “berperang” dengan ayam dan anjing.

Ketika peristiwa pencerobohan Lahad Datu oleh pengganas Sulu yang datang dari Filipina, 10 anggota komando terbunuh.

Bekalan air bersih

Kanak-kanak dilihat membawa botol air kosong untuk mendapatkan bekalan air bersih di Kampung Kesuapan, Pulau Gaya, di Kota Kinabalu.

Selepas 57 tahun Sabah bersama Malaya dan Sarawak membentuk Malaysia, masalah bekalan air bersih masih lagi tidak selesai sehingga ke hari ini.

Terutamanya melibatkan penduduk kampung atas air dan sehingga kini projek bekalan air masih lagi di peringkat pembinaan.

Lebih membebankan setiap 220 liter air penduduk perlu membayar RM7 dan setiap rumah perlukan sekurang-kurangnya 1,000 liter.

Dalam manifesto Warisan sememangnya menjanjikan masalah ini akan diselesaikan segera namun disebabkan seluruh dunia dilanda wabak Covid-19 membuatkan projek itu tergendala di separuh jalan.

Bagaimanapun inisiatif ini dilihat memberi impak yang besar kepada semua penduduk kerana tidak lagi terbeban dengan bayaran air yang mahal.

Namun ia tetap menjadi bahan kempen semua calon yang bertanding yang menjanjikan masalah ini akan diselesaikan jika mereka dipilih menjadi ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di kawasan itu.

Pembangunan ekonomi rakyat Sabah

Isu ini menjadi “favorite” semua calon dalam ceramah kempen mereka kerana akan menarik minat rakyat Sabah.

Terutama sekali pemulihan ekonomi melibatkan perniagaan kecil-kecilan yang dilihat mampu membantu meringankan beban rakyat bawahan.

Bagi Penganalisis politik Sabah, Musli Oli kempen PRN Sabah tetap berjalan baik meskipun terdapat sedikit kebimbangan dengan kes Covid-19, namun ia tidak menjejaskan semangat para petugas parti yang masing-masing kelihatan yakin dengan kekuatan parti yang disokong.

Berhubung isu-isu panas yang digunakan sepanjang kempen kali ini, kata Musli semua isu berjaya ditangani dengan aura positif oleh parti lawan.

“Pemberian geran tanah berjaya di neutralized pihak pembangkang kerana majoriti permohonan dan kelulusan geran-geran tanah berlaku sebelum kerajaan negeri bertukar. Tapi pemberian geran tidak diserahkan Jabatan Tanah secara individu kecuali melalui program politik.

“Isu ‘Sabah for Sabahan’ dah luntur. Semua parti perjuangkan. Tiada excitement lagi seperti dulu.

“Kenyataan ahli Parlimen Silam (Mohamaddin) beri impak negatif kepada Warisan. Isu-isu infrastruktur tidak ditangani kerana hambatan ekonomi,” katanya kepada MalaysiaNow.