Hakim Emilia Kaswati Mohamad Khalid menjatuhkan hukuman itu selepas Yap Chin Boon, 30, mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman bermula dari tarikh tangkap pada 6 Sept lepas.
Emilia Kaswati: Mengapa kamu melakukan kesalahan ini, cuba bayangkan, kalau orang yang dirompak itu adalah bapa kamu?”
Yap: Saya buat kerana terdesak isteri mahu bersalin. Saya buat bukan dengan sengaja, saya betul-betul insaf, saya mahu jumpa anak kedua yang baru dilahirkan, harap beri saya peluang sebab nak tunjuk contoh yang baik untuk anak-anak saya.
Yap didakwa merompak antaranya sebuah kereta, dompet dan tiga kad bank milik pemandu perkhidmatan e-hailing, S. Marathamuthu, 68, bersenjatakan sebilah pisau di tepi Jalan Besar Kepong, Sentul, di sini, pada 7.30 malam, 5 Sept lalu mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda atau sebat.
Timbalan Pendakwa Raya Noor Dayana Mohamad memohon hukuman setimpal ke atas tertuduh mengambil kira mangsa adalah pemandu perkhidmatan e-hailing dan seorang warga emas manakala peguam Nicholas Cheoh yang mewakili tertuduh memohon hukuman penjara minima.
Berdasarkan fakta kes, ketika kejadian tertuduh menaiki kereta yang dipandu mangsa, tiba- tiba meminta mangsa memberhentikan kenderaannya di tepi jalan dengan alasan emaknya menunggu di hadapan jalan lalu tertuduh mengacukan sebilah pisau ke perut mangsa serta mencekik lehernya dari arah belakang.
Berlaku pergelutan antara mereka dan mangsa menolak tangan tertuduh dan terus keluar dari keretanya dan Yap seterusnya membawa lari kereta itu dan meninggalkan mangsa di tempat kejadian.
Di Mahkamah Sesyen berasingan, seorang bekas juruteknik dipenjara tiga tahun dan dua sebatan kerana cuba melakukan rompak dan dengan sengaja menyebabkan kecederaan di tapak tangan terhadap seorang juruwang di sebuah kedai serbaneka.
Hakim Izralizam Sanusi menjatuhkan hukuman itu ke atas Tamilselvam, 24, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan itu dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman tersebut bermula dari tarikh tangkap pada 27 Mac lepas.
Lelaki itu didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Akhbar Hussien Jamaluddin, 19, di sebuah kedai serbaneka di Taman Jinjang Baru, Sentul di sini, pada 6.41 pagi, 27 Mac lepas, mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan hendaklah dikenakan denda atau sebatan.
Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Aiman Azahan memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran terhadap tertuduh manakala Tamilselvam yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan dia perlu menjaga ibunya dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama.