- Iklan -
Berita

Sabah mengundi, Warisan dijangka tidak bernasib baik seperti 2018

Pilihan raya kali ini diadakan ketika pihak berkuasa melaporkan lonjakan kes Covid-19.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Voters in Kota Kinabalu, Sabah wait to cast their ballots under Covid-19 SOPs in the recent state election. Photo: Bernama
Voters in Kota Kinabalu, Sabah wait to cast their ballots under Covid-19 SOPs in the recent state election. Photo: Bernama

Hampir 1.1 juta rakyat Sabah yang layak mengundi bakal memilih 17 parti dan lebih 400 calon yang bertanding selepas kurang daripada 30 bulan seluruh negara dilanda tsunami politik pada 2018 hingga memberikan peluang kepada Warisan membentuk kerajaan, namun penganalisis dan pemerhati politik menjangkakan ia mungkin tidak akan berulang lagi.

Mereka berkata, ini disebabkan kerajaan Warisan pimpinan Mohd Shafie Apdal gagal mentadbir dengan baik terutamanya di kawasan pedalaman, di mana terletaknya sebahagian besar daripada kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sabah.

“Meskipun semangat antara penyokong kuat Warisan masih utuh, mereka dilihat hanya mampu mendapat sokongan di kawasan bandar sahaja,” kata Pengerusi Bersih 2.0 Thomas Fann kepada MalaysiaNow.

“Manakala di kawasan pedalaman, rakyat sudah sedar tiada pembangunan yang dilakukan Warisan hinggakan hidup mereka bertambah susah sejak 26 bulan lalu.”

Penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) Zaini Othman bersependapat dengan Fann tsunami politik 2018 tidak akan berulang akan tetapi tidak mempunyai kepastian siapakah yang bakal menang.

“Namun persoalan siapa yang akan menubuhkan kerajaan esok masih lagi menjadi tanda tanya kerana Warisan Plus dan Gabungan Rakyat Sabah mempunyai kekuatan masing-masing,” katanya kepada MalaysiaNow.

Warisan Plus terdiri daripada Warisan, DAP, Amanah, PKR dan Upko.

Selain daripada dua gabungan besar ini, terdapat juga parti yang dianggap sebagai kuasa ketiga seperti PCS yang dipimpin bekas menteri luar Anifah Aman dan Usno yang dipimpin bekas speaker Dewan Rakyat, Pandikar Amin Mulia.

Hampir setiap kerusi daripada 73 Dewan Undangan Negeri (DUN) menyaksikan pertembungan lima penjuru.

Pada 2018, Warisan parti yang ditubuhkan Shafie setahun selepas dipecat daripada Kabinet Najib Razak pada 2015, berjaya merampas 21 kerusi.

Bersama dengan sekutu Pakatan Harapan (PH) dan dengan pembelotan Upko, Shafie memperoleh sokongan majoriti dan mengangkat sumpah sebagai ketua menteri ke-15.

Covid-19

Sukarelawan dari Mercy membuat jahitan Pakaian Perlindungan Peribadi (PPE) bagi membantu barisan hadapan Covid-19.

Pilihan raya kali ini juga diadakan ketika Sabah menyaksikan lonjakan kes Covid-19 sejak beberapa hari kebelakangan ini.

Walaupun Fann mengatakan lonjakan kes itu tidak akan menghentikan orang daripada keluar mengundi, namun Zaini berpendapat ia sedikit sebanyak dapat mempengaruhi jumlah pengundi yang keluar.

Semalam, pihak berkuasa melaporkan 111 jangkitan baru di seluruh negara, yang sebahagian besarnya dari Sabah.

Sementara itu, pemerhati Sabah, Arnold Puyok, dari Pemerkasaan Masyarakat dan Pembangunan Ekonomi Sabah, menyatakan agak sukar meramalkan siapa yang pengundi akan pilih kali ini.

Katanya, situasi pilihan raya negeri kali ini “berterabur” dan menggambarkan kebanyakan pengundi tidak dapat membuat keputusan.

“Peralihan kesetiaan ini sangat biasa di Sabah. Itulah sebabnya tidak mudah untuk meramalkan atau menjangkakan siapa yang akan memenangi pilihan raya. ”

Hasil pemerhatian Puyok sebelum ini mendapati akan ada persaingan rapat antara dengan PN dan BN dalam mengambil alih pucuk pimpinan Warisan.

“Pada masa ini, nampaknya jurang itu semakin rapat antara kedua-dua kumpulan,” katanya kepada sebuah forum dalam talian.

Fazreen Kamal berada di Kota Kinabalu dan Nur Hasliza Mohd Salleh di Kuala Lumpur menyumbang kepada laporan ini.