- Iklan -
Berita

Tanda pagar #PRNSabah warnai hari pengundian

Ada juga yang berswafoto bersama-sama rakan selepas selesai mengundi dengan pelbagai kapsyen antaranya ; “kami sudah selesai mengundi”.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Leona Vivien Angel menunjukkan jari yang berdakwat tanda selesai membuang undi pada Hari Pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah di Daerah Mengundi Sunny Garden, di Sekolah Kebangsaan (SK) Sacred Heart.
Leona Vivien Angel menunjukkan jari yang berdakwat tanda selesai membuang undi pada Hari Pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah di Daerah Mengundi Sunny Garden, di Sekolah Kebangsaan (SK) Sacred Heart.

Platform media sosial digunakan pengundi untuk berkongsi perjalanan proses pengundian bagi merakam peristiwa bersejarah memilih pentadbiran kerajaan negeri yang baru dalam suasana pandemik Covid-19.

Tanda pagar (Eng : hashtag) #PRNSabah #SabahMemilih #SabahBangkit digunakan pengundi khasnya golongan muda dengan memuat naik gambar di akaun Twitter, Facebook dan Instagram, mulai dari sesi mengimbas kod aplikasi MySejahtera sewaktu tiba di pusat mengundi sehinggalah selesai mengundi dengan menunjukkan jari telunjuk dicalit dakwat hitam.

Ada juga yang berswafoto bersama-sama rakan selepas selesai mengundi dengan pelbagai kapsyen antaranya ; “kami sudah selesai mengundi”, “Selamat mengundi warga Sabah, pilihan di tangan anda” dan “Good morning Sabahan, get out and vote:”

Sehingga jam 12 tengah hari, cuaca cerah di kebanyakan tempat selain proses pengundian terus berjalan lancar tanpa sebarang gangguan, serta kelibat petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), polis, dan Kementerian Kesihatan terus komited bertugas memastikan keadaan terkawal.

Jauh di pedalaman kira-kira 80 kilometer dari ibu negeri, calon Perikatan Nasional (PN) dari Star bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tambunan, Jeffrey Kitingan, menunaikan tanggungjawabnya di Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Tambunan pada jam 9.50 pagi.

Beliau yang lengkap berpakaian tradisional suku kaum Kadazan Dusun termasuk memakai tengkolok yang dikenali Siga itu, sempat beramah mesra dengan pengundi dan petugas SPR yang berada di kawasan tersebut.

Kira-kira 90 minit kemudian, calon kerusi DUN Lamag, Bung Moktar Radin, yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, selesai mengundi di SMK Bukit Garam, Kinabatangan sambil menitipkan pesanan kepada pengundi supaya menjaga prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 demi keselamatan bersama.

Turut mencuri tumpuan adalah kehadiran bekas ketua menteri Sabah Musa Aman yang selesai mengundi di SK Sungai Manila, Sandakan bagi kerusi DUN Sungai Manila pada jam 11.04 pagi tadi.

Kehadiran penyandang kerusi DUN Sungai Sibuga itu diiringi sepasukan pengiring keselamatan dan selepas selesai mengundi, Musa sempat beramah mesra dengan pengundi yang teruja menemuinya di pusat mengundi tersebut.

Hari yang sibuk buat Pengerusi SPR Abdul Ghani Salleh apabila meninjau perjalanan proses pengundian di beberapa pusat pengundian antaranya SJK (C) Chung Hwa, dan SMK Sanzac Kota Kinabalu sejak pagi tadi.

Bekas ahli Parlimen Kota Belud yang juga ketua Umno Bahagian Tuaran Abdul Rahman Dahlan turut menunaikan tanggungjawabnya sambil menunjukkan jari dicalit dakwat hitam selepas selesai mengundi di Sekolah Kebangsaan Serusup, Tuaran pada jam 11.35 pagi.

Sebanyak 2,540 saluran di 741 pusat mengundi dibuka di semua 73 kerusi DUN sejak 7.30 pagi ini bagi membolehkan rakyat Sabah memilih kerajaan baru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.