- Iklan -
Berita

Perbicaraan kes rasuah Zahid ditangguh lagi

Zahid menghadapi 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya melibatkan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 membabitkan pengubahan wang haram.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Umno president Ahmad Zahid Hamidi. Photo: Bernama
Umno president Ahmad Zahid Hamidi. Photo: Bernama

Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur membenarkan permohonan Ahmad Zahid Hamidi supaya perbicaraannya yang dijadualkan hari ini hingga Rabu, ditangguhkan kerana bekas timbalan perdana menteri itu masih menjalani kuarantin kerana Covid-19.

Peguam Hamidi Mohd Noh yang mewakili Zahid memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya tidak dapat hadir ke mahkamah hari ini kerana menurut Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO), beliau perlu dikuarantin di rumah dari 26 Sept sehingga hari ini.

“Anak guam saya melakukan ujian swab sekali lagi selepas lawatan mengejut pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) di rumahnya semalam dan keputusannya adalah negatif.

“Hari ini, beliau akan menjalani ujian wajib Reverse Transcription Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) di rumahnya untuk menentukan sama ada keputusan negatif atau positif. Saya difahamkan ujian itu hanya boleh dibuat pada lewat hari ini.

“Oleh itu, pihak pembelaan ingin memohon penangguhan perbicaraan untuk hari ini, esok dan Rabu,” katanya.

Hamidi berkata beliau difahamkan Zahid mungkin berisiko kerana pada 19 Sept, beliau bersama calon (Barisan Nasional) bagi kerusi Pitas, Sufian Abd Karim, yang diuji positif Covid-19.

“Sufian dan anak guam saya mengambil gambar bersama…saya merasakan kita perlu mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan penyebaran virus,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Raja Rozela Raja Toran berkata pihak pendakwaan tidak membantah penangguhan itu.

Hakim Collin Lawrence Sequerah kemudian membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk menangguhkan tarikh perbicaraan untuk hari ini sehingga Rabu.

“Tarikh perbicaraan hari ini sehingga Rabu akan ditangguhkan, kita (perbicaraan) akan bersambung semula pada 12 Okt,” kata Hakim Sequerah.

Semasa prosiding 21 Sept lepas, mahkamah membenarkan permohonan Zahid untuk menangguhkan perbicaraan yang ditetapkan selama dua hari (21 dan 22 Sept) kerana beliau perlu menjalani ujian saringan Covid-19.

Zahid menghadapi 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya melibatkan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 membabitkan pengubahan wang haram melibatkan wang puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.