- Iklan -
Berita

Covid-19: SK Permatang Janggus tutup lapan hari

Guru wanita disahkan positif

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Hampir 600 murid menjalani ujian saringan Covid-19 di SK Permatang Janggus, Penaga berikutan seorang guru wanita di sekolah tersebut positif COVID-19.  Gambar: Bernama
Hampir 600 murid menjalani ujian saringan Covid-19 di SK Permatang Janggus, Penaga berikutan seorang guru wanita di sekolah tersebut positif COVID-19. Gambar: Bernama

Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang mengarahkan Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Janggus, Penaga, ditutup sehingga 8 Oktober ini, selepas seorang guru wanita positif Covid-19.

Pengarahnya, Abdul Rashid Abdul Samad berkata, arahan itu berkuatkuasa bermula hari ini.

“Setakat ini, sekolah tersebut akan ditutup selama lapan hari dan sebarang keputusan lain akan dibuat selepas kami bermesyuarat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya.

Katanya beliau belum mendapat laporan lengkap dari SK Permatang Janggus, namun dimaklumkan semua murid di situ perlu menjalani ujian saringan Covid-19 yang dijalankan di sekolah hari ini.

Guru wanita berusia lingkungan 40-an itu dilaporkan tidak sihat sebelum mendapatkan rawatan di sebuah hospital di Kedah.

Difahamkan guru wanita itu adalah isteri kepada seorang ahli politik di Kedah dan suaminya sebelum itu pergi berkempen di Sabah, semasa Pilihan Raya Negeri Sabah baru-baru ini.