- Iklan -
Berita

Covid-19: Malaysia dijangka memasuki gelombang ketiga, kata KP Kesihatan

Trend peningkatan Covid-19 di Malaysia selari dengan peningkatan kes seluruh dunia.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah

Malaysia dijangka memasuki gelombang ketiga Covid-19 selari dengan trend peningkatan jumlah kes di seluruh dunia kebelakangan ini, menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.”

Sekarang ini kita lihat pada peringkat permulaan untuk gelombang ketiga, jadi kes-kes telah dikesan bukan hanya negara kita tetapi juga negara-negara lain menghadapi peningkatan kes,” katanya pada sidang media perkembangan Covid-19 di sini hari ini.

Ditanya mengenai unjuran kementerian bagi kes Covid-19, Noor Hisham berkata ia bergantung kepada tindakan KKM, pelbagai agensi kerajaan seperti PDRM, Jabatan Imigresen dan ATM serta seluruh rakyat Malaysia.

“Kalau kita bersama dapat mengamalkan tindakan masing-masing iaitu patuhi SOP manakala KKM akan melaksanakan tindakan kesihatan awam, (sebagai contoh) PDRM akan melaksanakan sekatan jalan raya serta ATM mempertingkat kawalan sempadan, jalan-jalan tikus dan sebagainya.

“Kementerian juga akan mengambil tindakan untuk melindungi tempat-tempat seperti pusat jagaan warga emas dan depoh tahanan Imigresen, penjara dan tempat tahanan yang lain,” katanya.

Noor Hisham berkata persiapan dan kesiapsiagaan KKM kali ini adalah lebih tinggi berbanding pada peringkat permulaan wabak iaitu dari segi persediaan mobilisasi petugas, jumlah Peralatan Perlindungan Diri (PPE) dan mesin ventilator.

“KKM telah menjalankan tindakan mobilisasi pasukan bantuan kesihatan, sebelum 27 September kami telah menghantar petugas-petugas kesihatan KKM ke Sabah di daerah tertentu (Tawau, Lahad Datu dan Semporna).

“Kita akan melihat keperluan, kalau ada kita akan hantar lebih ramai lagi pakar-pakar (pakar pediatrik, pakar bius, pegawai perubatan dan jururawat) kita,” katanya.