Dr Mahathir jelaskan mengapa tak bersetuju dengan ‘Islamisasi’ di sekolah kebangsaan
Fardhu kifayah perlu ditekankan supaya orang Islam juga maju di dunia.
Terkini
Perdebatan berterusan mengenai apa yang digambarkan sebagai Islamisasi dalam sistem pendidikan negara menarik minat Dr Mahathir Mohamad.
Apatah lagi bekas perdana menteri itu pernah menjadi menteri pendidikan pada tahun 1970 an di mana beliau dikenali kerana memperkenalkan akta yang tidak membenarkan mahasiswa aktif berpolitik.
Tetapi percubaan keduanya untuk mengetuai kementerian itu tidak bertahan lama apabila kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang pada Februari tahun ini, sebulan selepas beliau mengambil alih portfolio itu daripada Maszlee Malik.
Kali ini Mahathir mengharapkan dapat membangkitkan satu isu yang dekat di hatinya iaitu kegiatan ritual agama yang berlebihan sehingga menjejaskan fokus kerajaan kepada sains dan teknologi.
“Kita perlu faham fardhu ain seumpamanya, tetapi saya dapati kurang tekanan kepada fardhu kifayah yang diwajibkan ke atas kita supaya kita juga maju di dunia.
“Terutamanya saya dapati kita selalu cakap Islam sebagai bukan sahaja agama tetapi satu cara hidup,” kata Mahathir dalam wawancara eksklusif bersama MalaysiaNow di Putrajaya baru-baru ini.
Katanya, bagi orang biasa, sudah memadai diterapkan asas agama kepada para pelajar agar mereka berupaya membezakan nilai yang baik dan buruk.
“Ini semua kita kena semai ke hati anak-anak kita supaya apabila dia membesar, dia bergerak mengikut apa yang ditentukan agama,” katanya.
Pada zaman pemerintahan kali pertama Mahathir, dasar “penerapan nilai-nilai Islam” diperkenalkan.
Menurut Mahathir, beliau percaya orang Islam perlu ditekankan dengan nilai-nilai agama sebagai cara hidup.
“Umpamanya, kalau kita kata baca dalam Quran adalah apabila kamu hukum, hukumlah dengan adil.
“Adil itu penting. Lebih kurang 40 ayat disebut tentang keadilan tetapi kita tidak tekankan itu. Keadilan bukan sahaja kepada orang Islam, tetapi kepada bukan Islam pun kita mesti adil.
“Tetapi yang ditekankan ialah hukuman yang berat, nak potong kepala, potong tangan.”
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
Paling Popular
Tiada artikel ditemui.