- Iklan -
Berita

Tindakan KPT kerap ubah keputusan ‘last minit’ menyusahkan pelajar IPT

Bukan sahaja rugi wang ringgit malah ibu bapa dan pelajar dari jauh mengeluh dengan keputusan KPT yang agak lembap.

Fazreen Kamal
2 minit bacaan
Kongsi
Susulan kebenaran pulang meraikan Aidilfitri di kampung halaman, surat pelepasan perjalanan rentas negeri atau daerah serta tarikh pergerakan pulang dan kembali ke kampus bagi setiap pelajar akan disediakan oleh pihak IPT. Gambar: Bernama
Susulan kebenaran pulang meraikan Aidilfitri di kampung halaman, surat pelepasan perjalanan rentas negeri atau daerah serta tarikh pergerakan pulang dan kembali ke kampus bagi setiap pelajar akan disediakan oleh pihak IPT. Gambar: Bernama

Peningkatan mendadak kes Covid-19 sejak kebelakangan ini dalam kalangan rakyat Malaysia secara tidak langsung menimbulkan kebimbangan pelbagai pihak.

Malah kes positif Covid-19 dilaporkan pada Jumaat merupakan yang tertinggi sejak PKP dilaksanakan pada 18 Mac lalu iaitu 287 kes dengan Kedah dan Sabah mencatatkan angka tertinggi.

Sehubungan itu Kementerian Pengajian Tinggi mengambil keputusan agar semua Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) untuk menangguhkan pendaftaran secara fizikal atau bersemuka bagi semua pelajar-pelajar baru dan lama ke kampus.

Berdasarkan satu kenyataan yang dikeluarkan KPT pada tengah hari semalam menyebabkan kebanyakan pelajar yang sudah tiba di kampus hampa apabila ia tidak diberitahu lebih awal.

“Semua urusan pendaftaran pelajar boleh dilaksanakan secara dalam talian, begitu juga aspek pengajaran dan pembelajaran sehingga pengumuman baharu mengenainya dibuat.

Keputusan menangguhkan pendaftaran secara fizikal atau bersemuka pelajar-pelajar yang terlibat perlu dibuat demi memelihara kesejahteraan dan keselamatan semua pihak,” menurut kenyataan KPT.

Kelewatan KPT mengumumkan penangguhan sesi pendaftaran tersebut membuatkan kebanyakan ibu bapa dan pelajar khususnya yang datang dari jauh untuk sesi pendaftaran hampa.

Tindakan KPT ini juga menyebabkan media sosial dibanjiri dengan luahan perasaan pelajar IPT malah ada yang mengeluh selepas terpaksa melalui perjalanan yang jauh dan perbelanjaan tinggi sehingga ada yang terpaksa bergadai demi membayar yuran serta kos pengajian anak mereka.

Salah seorang pelajar Ashraf Zailani menerusi laman Twitter di “Injang Nation” ternyata kecewa dengan kegagalan KPT mengumumkannya lebih awal apabila sudah mengetahui kes Covid-19 semakin serius.

Malah luahan kekecewaan di platfom itu diperkatakan secara panjang lebar yang rata-rata marah dan terkilan dengan tindakan KPT yang dianggap tidak professional dan menyusahkan semua pihak.

Situasinya, KPT pada mulanya mengarahkan semua IPTS dan IPTA untuk buat kelas online sehingga 31 Disember tapi ia diubah memandangkan situasi Covid-19 semakin pulih.

Bagaimanapun apabila kes Covid-19 semakin meningkat KPT tidak memaklumkan lebih awal kepada semua IPT untuk melakukan penangguhan pendaftaran.

Makluman lambat daripada KPT menyebabkan IPT tak boleh membuat sebarang keputusan melainkan hanya menantikan makluman.

Permasalahan di sini secara terang KPT tidak mempunyai kata putus yang jelas dan lambat dalam membuat keputusan sehingga menjejaskan banyak pelajar dalam urusan pendaftaran hari ini (semalam),” katanya kepada MalaysiaNow.

Bagaimanapun difahamkan menerusi kenyataan yang dikeluarkan KPT menyatakan bagi pelajar yang telah berada di kampus dan sedang mengikuti aktiviti akademik, mereka boleh kekal berada di kampus masing-masing.

Malah pihak IPT diminta membantu segala keperluan yang diperlukan oleh kumpulan pelajar ini.

Untuk rekod sejak PKP berkuatkuasa 18 Mac lalu kira-kira 80,000 pelajar terperangkap di kampus universiti masing-masing.

Ketika itu KPT merangka beberapa kaedah terbaik untuk menghantar pulang pelajar yang masih berada di kampus ke rumah masing-masing susulan pengumuman lanjutan tempoh PKP hingga 28 April.

Sebelum ini KPT juga pernah menimbulkan kontroversi apabila mengubah setiap keputusan yang dibuat antaranya 17 Mac arah pelajar pulang ke rumah menyebabkan semua pelajar berpusu-pusu di Terminal Bas Bersepadu untuk mendapatkan tiket pulang ke kampung.

Namun, disebabkan kesesakan yang tidak diduga di semua terminal bas, pada 18 Mac KPT mengeluarkan arahan melarang pelajar daripada meninggalkan kampus.

Kemudian pada 28 Mei KPT umum pembelajaran secara online sehingga Disember 2020 tapi pada 8 Julai umum pula IPT akan dibuka semula kepada semua pelajar lama dan baru bermula Oktober.

Dan pada 2 Oktober pula menyaran semua IPT menangguhkan pendaftaran.