Salah sebuah pusat membeli belah terbesar di Lembah Klang, One Utama (1 Utama) memaklumkan seorang kakitangan di premis Mac City Service Centre dalam bangunan itu dijangkiti Covid-19.
Dalam satu kenyataan hari ini, 1 Utama menyebut pekerja itu tidak memasuki bangunan pusat membeli belah berkenaan sejak tamat waktu kerja pada 30 September dan hari cuti pada 1 Oktober lalu.
Menurut 1 Utama, pekerja berkenaan sedang menerima rawatan di salah sebuah hospital kerajaan.
“Ini adalah kes terpencil yang pertama berlaku di 1 Utama sejak pandemik Covid-19 melanda dan kami berasa terkilan dengan berita ini meskipun sudah berusaha sehabis baik bagi memastikan pencegahan Covid-19 berlaku.”
Tambah kenyataan itu, premis berkenaan sedang ditutup dan dikawal rapi selain semua kakitangannya diarah menjalani tempoh kuarantin.
Proses sanitasi di dalam bangunan termasuk lift, tandas, kawasan awam dan eskalator sedang giat dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah mengumumkan sebanyak 293 kes baru jangkitan Covid-19 menjadikan ianya tiga hari berturut merekodkan kes tinggi wabak berkenaan.
Sehingga kini, kes terkumpul adalah sebanyak 12,381 kes dan kes aktif dengan kebolehjangkitan sebanyak 1,961 kes.