Presiden Amerika Syarikat Donald Trump semalam memberitahu rakyat Amerika agar tidak membiarkan Covid-19 “menguasai anda” setelah tiba di Rumah Putih dari Pusat Perubatan Walter Reed, lokasi beliau menerima rawatan Covid-19, lapor agensi berita Anadolu.
Menerusi video dari kediaman presiden yang disiarkan di Twitter, Trump berkata beliau “banyak belajar” mengenai Covid-19 semasa berada di hospital tentera di Bethesda, Maryland.
“Satu perkara yang pasti: Jangan biarkan ia menguasai anda. Jangan takut kepadanya. Anda akan mengalahkannya,” kata Trump. “Kita mempunyai peralatan perubatan terbaik. Kita mempunyai ubat terbaik, semuanya dibangunkan baru-baru ini.”
Trump, 74, pada Jumaat berkata beliau dan wanita pertama Melania Trump disahkan positif Covid-19, beberapa jam selepas Hope Hicks, salah seorang pembantu terdekatnya yang sering bersama menyertai perjalanannya, disahkan positif Covid-19.
Beliau dibawa ke Pusat Perubatan Walter Reed pada petang Jumaat.
Trump berkata sebagai pemimpin negara beliau harus melakukan pergerakan, sambil menambah: “Saya tahu adanya risiko.Juga bahaya, tetapi tidak mengapa. Dan sekarang saya lebih baik. Mungkin saya imun, saya tidak tahu.”
Beliau juga memberitahu rakyat Amerika supaya sentiasa berjaga-jaga.