- Iklan -
Berita

Pemilik tegaskan amal SOP, selepas Covid-19 dicatat di pusat beli-belah

Kehadiran pengunjung sudah mula menurun sejak kes Covid-19 meningkat kembali.

Roznah Abdul Jabbar
2 minit bacaan
Kongsi
Beberapa kompleks beli-belah di Lembah Klang mencatatkan kes Covid-19.
Beberapa kompleks beli-belah di Lembah Klang mencatatkan kes Covid-19.

Pusat beli-belah besar yang mencatatkan kes Covid-19 mungkin akan sepi kembali, empat bulan selepas membuka pintu mereka yang ditutup kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata salah seorang pemilik di Lembah Klang.

Pemilik pusat beli-belah 1 Utama di Petaling Jaya, Teo Chiang Kok berkata wabak itu berjangkit walaupun mereka sudah mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) untuk mengekang penularannya.

“Semua orang memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan sosial, kata Teo yang turut mengetuai Persatuan Pengurusan Kompleks Malaysia kepada MalaysiaNow.

Semalam, pusat beli-belah Teo melaporkan seorang pekerja di kedai komputer positif Covid-19.

Ini merupakan salah satu kes terpencil melanda pekerja pusat beli-belah ternama yang pemiliknya tidak membuang masa untuk menenangkan kegusaran orang ramai disebabkan peningkatan kes Covid-19 di selurruh negara.

Semalam Kementerian Kesihatan mengumumkan 432 kes baru di seluruh negara, yang paling tinggi sejak Covid-19 dikesan di Malaysia awal tahun ini.

Selain 1 Utama, antara pusat beli-belah yang dilaporkan terdapat kes Covid-19 ialah Paradigm Mall, Nu Sentral, Sunway Pyramid dan KL Gateway Mall.

Semakan MalaysiaNow di beberapa pusat beli-belah di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya mendapati kebanyakannya tidak ramai orang tatkala berita pekerja pusat beli-belah terkena jangkitan tular di media sosial.

Teo mengakui kehadiran pengunjung semakin menurun sejak kes Covid-19 di Malaysia kembali meningkat.

“Kehadiran pengunjung meningkat sejak dua bulan lepas dan kebanyakan pusat beli-belah melaporkan sekitar 80% hingga 90% kehadiran,” katanya.

Tetapi beliau berkata, orang ramai cuma mengambil pendekatan berjaga-jaga.

“Kami harap dengan langkah berjaga-jaga yang sudah diambil, keyakinan akan dapat dikembalikan dan kami akan dapat kembali kehadiran pengunjung,” kata Teo.

Mesej mengingatkan para pengunjung untuk mematuhi SOP di Suria KLCC. Gambar: Bernama

Richard Chan yang syarikatnya menawarkan khidmat perundingan kepada pusat beli-belah besar di seluruh negara berkata, insiden Covid-19 di pusat beli-belah baru-baru ini merupakan kes terpencil.

“Semuanya masih terkawal dan perniagaan berjalan seperti biasa akan tetapi dengan pengunjung berkurangan,” kata Chan dari RCMC Sdn Bhd kepada MalaysiaNow.

Pemilik pusat beli-belah berkata, tiada jangkitan di bangunan mereka sejak enam bulan lepas.

“Sanitasi penuh dengan pembasmian kuman dan pembersihan dilakukan di kawasan dilawati pesakit Covid-19 dilakukan mengikut garis panduan ditetapkan Kementerian Kesihatan dan kontak rapat dinasihatkan untuk kuarantin kendiri,” kata Persatuan Pengurusan Kompleks Malaysia semalam.

Persatuan itu juga berkata kadangkala, sifat asimptomatik Covid-19 menyebabkan sukar untuk mencegah jangkitan baru tetapi menambah pusat beli-belah mengikut SOP dan langkah kebersihan.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.