Sebanyak 36 kawasan perumahan di mukim Klang terlibat dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), yang akan mula dikuatkuasakan mulai tengah malam ini sehingga 23 Oktober depan.
Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata, kawasan berkenaan adalah Bandar Bukit Tinggi, Kampung Johan Setia, Kampung Bukit Naga, Kampung Perigi Nenas, Kampung Kuantan, Kampung Serdang, Bandar Puteri, Kampung Sungai Kandis, Taman Sri Andalas, Lorong Sungai Udang, Taman Suria, Mutiara Bukit Raja dan Bandar Klang.
“Turut terlibat, Pangsapuri Bukit Kuda, Ken, Rimba Jimbaran, Pangsapuri Palm Garden, Taman Andalas Permai, Taman Desa Meru, Taman Seri Lembayung, Taman Gembira, Kampung Delek Kiri, Taman Kim Batu Belah dan Kampung Sungai Udang.
“Taman Klang Perdana, Taman Bayu Perdana, Taman Klang Utama, Taman Sentosa, Taman Pendamar Indah, Jalan Dato Dagang, Taman Sejati, Jalan Haji Tarmizi, Taman Setia, Jalan Kebun, Taman Sri Muda, Jalan Muhibbah dan Taman Tenaga Bakti turut terlibat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Amirudin berkata, semasa tempoh berkenaan restoran, kedai makan, gerai makan, kedai runcit, serbaneka serta warung, hanya dibenarkan beroperasi bermula pada pukul 6 pagi hingga 10.00 malam.
“Pembelian makanan digalakkan menggunakan kaedah pandu lalu, penghantaran dan bungkus sahaja, makan di premis tidak dibenarkan, waktu operasi stesen minyak pula adalah antara pukul 6 pagi hingga pukul 11 malam,” katanya.
Beliau berkata pasar borong hanya dibenarkan beroperasi pada pukul 4 pagi sehingga pukul 2 petang manakala pasar biasa mulai pukul 6 pagi sehingga pukul 2 petang, pasar tani dibenarkan beroperasi mulai pukul 6 pagi sehingga pukul 12 tengah hari dan pasar malam tidak dibenarkan dalam tempoh ini.
“Waktu operasi klinik dan hospital kerajaan dan swasta dibenarkan secara 24 jam, manakala Farmasi dan kedai menjual ubat-ubatan beroperasi mulai pukul 8 pagi hingga pukul 11 malam, pengangkutan awam seperti bas, teksi serta e-hailing dibenarkan beroperasi bermula pukul 6 sehingga 12 tengah malam,” katanya.
Beliau berkata adalah dinasihatkan hanya ketua keluarga sahaja yang keluar dari rumah, bagi tujuan mendapatkan bekalan keperluan dan individu yang berisiko tinggi tidak digalakkan keluar ke kawasan awam, terbuka dan sesak.
Amirudin berkata, sektor pendidikan, aktiviti sukan dan rumah agama antaranya seperti masjid, surau, rumah ibadat bukan islam, institut pengajian tinggi awam dan swasta, institut latihan kemahiran, sekolah, tadika, taska, pusat tahfiz, pusat jagaan kanak-kanak, taman awam, pusat rekreasi adalah ditutup dan tidak dibenarkan selama tempoh berkenaan.
“Sebarang perkembangan berdasarkan kes Covid-19 di daerah ini akan diteliti dari semasa ke semasa dan kerjasama utuh antara industri, komuniti dan kerajaan, amat perlu untuk kita memotong rangkaian jangkitan ataupun ‘melandaikan lengkongan virus ini,” katanya.