- Iklan -
Berita

Anwar diterima mengadap Agong Selasa depan

Anwar akan mempersembahkan jumlah ahli Parlimen yang menyokongnya kepada Agong.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Presiden PKR, Anwar Ibrahim.
Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Selepas tiga minggu mengumumkan mempunyai “sokongan kukuh dan meyakinkan” daripada ahli-ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan, Presiden PKR Anwar Ibrahim hari ini mendakwa diterima untuk mengadap Yang Dipertuan Agong pada hari Selasa bersamaan dengan 13 Oktober.

“Pada majlis mengadap tersebut saya akan mempersembahkan keterangan
lengkap mengenai jumlah majoriti ahli Parlimen yang kukuh dan meyakinkan
seperti mana yang saya sebut sebelum ini.

“Saya amat berharap rakyat Malaysia untuk terus bertenang dan mendoakan dari
rumah atau tempat pekerjaan masing-masing, serta menghormati Peraturan
Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP),” kata ahli Parlimen Port Dickson itu dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 23 September, Anwar mengumumkan mempunyai cukup sokongan dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sudah tumbang.

Ketika diasak media mengenai jumlah sokongan diterimanya, Anwar berkeras hanya akan mempersembahkannya kepada Agong.

Bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad bagaimanapun tidak mempercayai dakwaan Anwar itu.