- Iklan -
Berita

Polis panggil pemilik akaun Facebook sunting gambar Noor Hisham

Kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi 1998.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah

Polis akan memanggil pemilik akaun Facebook MGAG yang didakwa mempersendakan gambar Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah, di laman media sosialnya semalam.

Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman DCP Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya sudah membuka kertas siasatan selepas satu laporan polis dibuat di Senawang, Seremban.

“Siasatan sedang dijalankan dan mereka yang terbabit akan dipanggil untuk memberi keterangan. Kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi 1998,” katanya kepada Bernama.

Semalam tular di media sosial memaparkan gambar Noor Hisham yang sedang mengadakan sidang media dari rumahnya disunting menjadi gambar yang mengaibkan.

Bagaimanapun, pemilik akaun berkenaan telah memohon maaf dan mengeluarkan gambar tersebut daripada akaun, namun sempat ditangkap layar serta ditularkan oleh pengguna media sosial lain.