Penyanyi Rihanna membuat permohonan maaf pada Selasa selepas menggunakan satu lagu yang mengandungi petikan hadis Nabi Muhammad ketika pertunjukan fesyen Savage X Fenty, lapor Insider.
Pengasas jenama Fenty berusia 32 tahun itu menerima kritikan hebat selepas berlangsungnya pertunjukan fesyen Savage X Fenty baru-baru ini.
Ketika pertunjukan fesyen itu berlangsung seorang model yang memperagakan pakaian dalam jenama tersebut kelihatan menari bersama-sama lagu “Doom” yang dinyanyikan Coucou Chloe yang turut menyertakan satu petikan hadis.
Pada Selasa lalu, Rihanna berkongsi permohonan maaf dalam Intagram story miliknya, dengan menulis pemilihan lagu itu adalah “ikhlas, tetapi ia satu kecuaian.”
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada umat Islam kerana menegur kesilapan yang secara tidak sengaja menyinggung perasaan ketika pertunjukan savage x fenty kami,” tulis Rihanna.
“Saya juga ingin memohon maaf kepada semua di atas kesilapan yang ikhlas tetapi satu kecuaian. Kami memahami apa yang berlaku menyakiti hati saudara-saudara Muslim, dan saya sangat kecewa dengan apa yang telah berlaku!”
Rihanna berkata: “Saya tidak berniat untuk tidak hormat kepada Tuhan ataupun kepada mana-mana agama dan tindakan menggunakan lagu tersebut adalah sesuatu tindakan yang tidak bertanggungjawab! Kami akan pastikan perkara yang sama tidak berulang lagi. Terima kasih diatas kemaafan anda.”