- Iklan -
Berita

Lebih 1,800 petugas kesihatan kontrak diperlukan KKM

Petugas kesihatan kontrak diperlukan bagi menyokong perkhidmatan kesihatan dalam tempoh penularan wabak Covid-19.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Kesihatan Dr Adham Baba. Gambar: Bernama
Menteri Kesihatan Dr Adham Baba. Gambar: Bernama

Kementerian Kesihatan (KKM) mengemukakan permohonan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam dan Kementerian Kewangan bagi melantik seramai 1,899 petugas kesihatan secara kontrak.

Menterinya, Dr Adham Baba berkata permohonan itu dihantar pada 9 Oktober lalu bertujuan menyokong perkhidmatan kesihatan dalam tempoh penularan wabak Covid-19.

“Permohonan dikemukakan itu selaras dengan persetujuan kerajaan agar Kementerian Kesihatan dipertimbangkan untuk menambah petugas kesihatan kepada 2,000 lantikan secara kontrak seperti diluluskan oleh kerajaan di bawah pakej rangsangan ekonomi prihatin sebelum ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, antara petugas kesihatan sokongan tambahan yang dipohon adalah pegawai penyelidik, jururawat, penolong pegawai perubatan, penolong pegawai kesihatan persekitaran, juruteknologi makmal perubatan dan pembantu tadbir (perkeranian/operasi dan kewangan).

Adham berkata petugas berkenaan akan ditempatkan di kemudahan kesihatan seperti hospital, klinik kesihatan, makmal, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) serta Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC).

“Mereka juga akan ditempatkan di stesen kuarantin di seluruh negara dan ditugaskan di pintu masuk antarabangsa seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur agar urusan keluar dan masuk di pintu-pintu masuk antarabangsa dapat diuruskan dengan lebih lancar dan berkesan,” katanya.

Jelasnya, antara petugas kesihatan sokongan tambahan yang dipohon adalah pegawai penyelidik, jururawat, penolong pegawai perubatan, penolong pegawai kesihatan persekitaran, juruteknologi makmal perubatan dan pembantu tadbir (perkeranian/operasi dan kewangan).

Beliau berkata kerajaan sudah mengambil langkah segera bagi mengawal penularan wabak ini, antaranya mengenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) dan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di negeri dan lokaliti yang berkaitan.

Katanya, KKM juga mengambil langkah proaktif dengan mobilisasi petugas kesihatan sedia ada dari negeri dan kemudahan kesihatan tertentu bagi membantu negeri atau kemudahan kesihatan yang memerlukan tambahan sumber manusia kesihatan.