- Iklan -
Berita

PKPB dilaksanakan di Selangor, KL, Putrajaya dan Sabah

Ini disebabkan peningkatan dan penularan kes Covid-19.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
1,200 anggota JPJ akan mula membantu PDRM menguatkuasakan PKP bermula hari ini.
1,200 anggota JPJ akan mula membantu PDRM menguatkuasakan PKP bermula hari ini.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini memutuskan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikenakan semula terhadap Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya bermula 14 Oktober sehingga 27 Oktober ini.

Sementara bagi Sabah, PKPB akan bermula pada tengah malam ini dan berakhir pada 26 Oktober.

Menurut Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob PKPB terpaksa dilaksanakan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putarajaya susulan nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan mengambil kira peningkatan dan penularan kes, seperti di Klang di Petaling dan Gombak serta daerah-daerah lain.

“Bagi menyekat penularan wabak ini dari terus merebak, sidang khas MKN hari ini bersetuju untuk melaksanakan PKPB di Selangor, WP Kuala Lumpur dan Putrajaya berkuatkuasa jam 12.01 tengah malam,14 Oktober hingga 27 Oktober 2020,” kata Ismail pada sidang media secara langsung disiarkan di akaun Facebook rasminya hari ini.

“Aktiviti-aktiviti yang dilarang adalah seperti berikut. Pergerakan keluar masuk/merentas daerah adalah tidak dibenarkan.

“Bagaimanapun bagi pekerja yang perlu merentas daerah, mereka perlu menunjukkan pas kerja atau surat kebenaran daripada majikan.”

Beliau berkata, hanya dua orang sahaja dari sebuah rumah dibenarkan keluar untuk membeli barangan keperluan manakala semua sekolah, institusi pengajian tinggi, institut latihan kemahiran, tadika, taska, pusat tahfiz, taman-taman awam dan pusat rekreasi adalah ditutup.

Katanya, sebelum ini PKPB sudah pun dilaksanakan di beberapa daerah di Sabah seperti Lahad Datu, Tawau, Kunak dan Semporna.

Sementara Kota Kinabalu, Penampang, dan Putatan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Selepas mendapat nasihat KKM dan mengambil kira kes peningkatan  dan penularan yang berlaku, sidang khas MKN hari ini bersetuju untuk melaksanakan PKPB di seluruh negeri Sabah,” katanya.

Beliau berkata, hanya dua orang sahaja dari sebuah rumah dibenarkan keluar untuk membeli barangan keperluan manakala semua sekolah, institusi pengajian tinggi, institut latihan kemahiran, tadika, taska, pusat tahfiz, taman-taman awam dan pusat rekreasi adalah ditutup.

“Masjid dan rumah ibadat bukan Islam lain adalah ditutup. Semua aktiviti sukan, rekreasi, sosial dan budaya termasuk majlis perkahwinan adalah tidak dibenarkan.

“Pusat-pusat hiburan dan kelab malam juga tidak dibenarkan. Bagaimanapun, semua kegiatan ekonomi di Selangor, WP Kuala Lumpur dan Putrajaya masih dibenarkan beroperasi seperti biasa,” katanya.