- Iklan -
Berita

NGO buat laporan polis, Lokman Adam didakwa hina Agong

NGO itu meminta polis menyiasat penghinaan Lokman kepada Agong.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas ahli Umno, Lokman Adam.
Bekas ahli Umno, Lokman Adam.

Penggerak Komuniti Negara Negeri Perak hari ini membuat laporan polis terhadap Lokman Noor Adam yang didakwa mengeluarkan kenyataan menghina Yang di Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menerusi media sosial, baru-baru ini.

Pengerusinya, Yushairil Iswan Ahmad Rohaini berkata berdasarkan klip video yang dimuat oleh Lokman di YouTube pada Sabtu lalu, beliau secara jelas menghina Sultan Abdullah apabila mendakwa Seri Paduka Baginda merestui dan membenarkan peralihan kuasa secara “pintu belakang”.

“Beliau (Lokman) juga sebelum ini pernah beberapa kali mengeluarkan kenyataan bahawa pelantikan Perdana Menteri (Muhyiddin Yassin) yang dilakukan Yang di Pertuan Agong pada 29 Feb lalu sebagai pelantikan secara pintu belakang.

“Kenyataan Lokman merupakan satu penghinaan kepada Yang di Pertuan Agong sebagai pemimpin tertinggi di negara ini, dan ia satu dakwaan yang sangat serius,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan berkenaan di Balai Polis Sungai Senam, di Ipoh, hari ini.

Justeru, Yushairil Iswan meminta pihak berkuasa menyiasat penghinaan yang dilakukan Lokman terhadap Yang di-Pertuan Agong dan mengambil tindakan ke atas bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno itu.

Klip video Lokman berdurasi 27 minit 8 saat di Youtube bertajuk “13 Oktober, Tragedi Tumbangnya Kerajaan Muhyiddin?” itu tular sejak Sabtu lepas.