Seorang bekas ahli Parlimen PKR mempersoalkan Tengku Razaleigh Hamzah berhubung sepucuk surat yang dihantarnya kepada speaker Dewan Rakyat bulan lalu yang mengkritik tindakan tidak membenarkan usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
Peguam N Surendran berkata, pemimpin veteran Umno itu sepatutnya lebih mengetahui mengenai peraturan mesyuarat Parlimen.
“Sebagai ahli Parlimen veteran, Ku Li harus tahu mengikut peraturan mesyuarat, usul persendirian hanya boleh didebatkan jika menteri kemukakan usul untuk menaikkannya,” kata Surendran melalui akaun Twitternya.
Surat yang ditujukan kepada Speaker Azhar Azizan Harun bertarikh 25 September, merujuk kepada usul undi tidak percaya bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad awal tahun ini.
Antara lain, Razaleigh mengatakan usul undi tidak percaya itu seharusnya diutamakan dalam aturan mesyuarat semasa persidangan Dewan Rakyat, dan mendesak Azhar untuk memberi jaminan usul seperti itu akan dibolehkan untuk dibentangkan pada sidang berikutnya.
Tetapi dalam surat balasannya akhir bulan lalu, Azhar mengatakan beliau hanya mengikuti peraturan yang ada dalam peraturan mesyuarat, yang menyatakan urusan kerajaan harus diutamakan.
“Makanya, di mana ahli-ahli Dewan Rakyat boleh memberi notis untuk membentangkan usul dan ia akan dipertimbangkan berdasarkan peraturan mesyuarat,” katanya.
Surendran mengatakan keprihatinan Razaleigh untuk menyokong usul persendirian ahli Parlimen seharusnya dibangkitkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dahulu yang menjanjikan reformasi Parlimen.
Razaleigh, yang juga pengerusi pertama syarikat minyak nasional, Petronas turut menuduh Muhyiddin terlibat dalam “penyogokan politik” sebagai pertukaran kepada sokongan ahli Parlimen.
Beliau turut mendedahkan pernah ditawarkan jawatan sebagai penasihat Petronas, tetapi menolaknya kerana bimbang akan “hilang kelayakan menjadi ahli Parlimen” sekiranya memegang sesuatu jawatan berpendapatan.
Surendran mengatakan keprihatinan Razaleigh untuk menyokong usul persendirian ahli Parlimen seharusnya dibangkitkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dahulu yang menjanjikan reformasi Parlimen.
“Kerajaan PH sepatutnya sudah meminda peraturan itu, tetapi mereka tidak melakukan apa-apa,” katanya.