- Iklan -
Berita

Kadar pengangguran negara menurun

Ia dijangka menurun kepada 4.5% Disember ini berbanding 5.3% pada Mei lalu.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Sumber Manusia M Saravanan yang juga timbalan presiden MIC. Gambar: Bernama
Menteri Sumber Manusia M Saravanan yang juga timbalan presiden MIC. Gambar: Bernama

Kerajaan menyasarkan kadar pengangguran di Malaysia akan menurun kepada 4.5 peratus menjelang Disember ini susulan pelaksanaan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF) di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana).

Menteri Sumber Manusia M. Saravanan berkata kadar pengangguran di Malaysia pada bulan Mei lepas mencatatkan 5.3 peratus.

“Akan tetapi, kadar pengangguran telah menurun kepada 4.7 peratus pada bulan September (2020) walaupun negara kini berhadapan krisis ekonomi dan musibah COVID-19.

“Jadi, dengan bantuan seperti Penjana HRDF, kementerian mampu melahirkan modal insan yang kreatif, produktif dan kompetitif di Malaysia mahupun di persada dunia dan membuat unjuran bahawa kadar pengangguran akan menurun kepada 4.5 peratus menjelang Disember ini,” katanya ketika berucap pada program Inisiatif HRDF Penjana di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau merasmikan majlis berkenaan yang dilakukan secara virtual di ibu negara memandangkan Kuala Lumpur ketika ini berhadapan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Dalam pada itu, Saravanan berkata dalam memastikan nasib pekerja yang berdepan masalah pengangguran ekoran pandemik Covid-19 itu terbela, pihak kementerian telah memperkenalkan program baharu iaitu Program Pengekalan Pekerjaan (ERP) yang berperanan menyalurkan sumbangan kepada pekerja yang menerima cuti tanpa gaji.

“Pihak kementerian juga sedang memberi perhatian dan bantuan kepada golongan pekerja dengan membuat program baharu untuk mengajar pekerja mengamalkan kemahiran multitugas.

“Dengan bantuan program seperti ini, ia akan membantu pekerja kekal relevan terhadap syarikat masing-masing melalui kemahiran yang mereka peroleh melalui program anjuran kementerian,” katanya.

Penjana HRDF yang dilancarkan sejak 22 Jun lalu, dilaksanakan bagi membantu menangani isu pengangguran akibat pandemik Covid-19.

Melalui inisiatif Penjana HRDF, sebanyak lima skim telah diperkenalkan antaranya Latihan dan Penempatan, Pembangunan B40, Pembangunan SME, Revolusi Industri 4.0 dan Gerak Insan Gemilang (GIG).

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.