Bicara 1MDB Najib ditangguh kerana PKPB
Perbicaraan itu akan disambung semula pada 9 hingga 12 November ini.
Terkini
Perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad membabitkan Najib Razak yang dijadualkan hari ini, ditangguh berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib ketika dihubungi berkata perbicaraan itu akan disambung semula pada 9 hingga 12 November di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah.
Perbicaraan itu sebelum ini, ditetapkan pada hari ini hingga Khamis.
Apabila perbicaraan disambung semula, pihak pembelaan akan meneruskan menyoal balas bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Mohd Hazem Abdul Rahman.
Pada 5 Oktober, mahkamah menangguhkan perbicaraan ke hari ini selepas membenarkan permohonan pasukan pembelaan untuk menunda kes berkenaan kerana bekas perdana menteri itu menjalani kuarantin dua minggu selepas pulang berkempen untuk Pilihan Raya Negeri Sabah bulan lepas.
Najib, 67, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.