Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah boleh mengisytiharkan darurat sekiranya kemelut politik berterusan tanpa perlu membubarkan Parlimen, ketika negara berdepan dengan Covid-19 yang menyaksikan peningkatan kes hampir mencecah empat angka, kata seorang peguam terkemuka.
Peguam Haniff Khatri Abdulla berkata, Yang di Pertuan Agong mempunyai kuasa untuk mengisytiharkan darurat seperti termaktub dalam Perlembagaan melalui Perkara 40 dan dibaca bersama Perkara 150 demi memastikan kestabilan pentadbiran untuk melawan pandemik yang sudah masuk gelombang ketiga.
“Ini, bagi Agong mungkin kemudaratan politik. Kalau nak buat Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dalam waktu Covid-19, boleh tengok macam mana yang berlaku di Sabah, peningkatan penularan jangkitan,” kata Haniff kepada MalaysiaNow.
“Mungkin keadaan ini akan membuatkan Agong menolak mana-mana cadangan untuk adakan PRU sekarang”.
Haniff berkata, ketika krisis politik pada Februari yang menyaksikan kerajaan Pakatan Harapan berusia 22 bulan tumbang, Majlis Raja-raja sudah menyatakan tidak berkenan untuk mengadakan PRU meskipun ketika itu bilangan jangkitan Covid-19 masih lagi kecil.
“Jadi, ini menunjukkan secara objektifnya ada keadaan kemudaratan Covid-19, ada juga kemudaratan politik. Atas dasar tersebut, Baginda boleh mengistihar darurat atas Perkara 150- darurat politik,” katanya yang pernah mewakili bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dalam beberapa kes sebelum ini.
Minggu lalu, MalaysiaNow melaporkan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan bekas perdana menteri, Najib Razak menulis surat kepada Istana Negara bagi menyatakan sokongan kepada Anwar Ibrahim, dan turut mendakwa “sejumlah ahli Parlimen Umno” bakal menyokong rancangan presiden PKR itu untuk menumbangkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
Sebelum itu pada 13 Oktober, Anwar mengadap Agong untuk menyerahkan “dokumen sahih” bagi membuktikan mempunyai “sokongan kukuh dan meyakinkan” untuk dilantik menjadi perdana menteri. Tidak berapa lama selepas itu, Istana Negara dalam satu kenyataan mengatakan Anwar gagal menyerahkan senarai ahli Parlimen untuk mengukuhkan dakwaannya.
Situasi ini, kata Haniff, akan menyebabkan Agong berdepan kesukaran untuk melantik pihak yang benar-benar memiliki majoriti disebabkan “unsur kecurigaan” yang timbul.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.