- Iklan -
Berita

Covid-19 ubah peranan wanita dalam pertumbuhan ekonomi Malaysia

Pasca pandemik akan menyebabkan tempat kerja majoriti dipenuhi lelaki jika wanita bekerja dari rumah dan ekonomi akan semakin merosot.

Amanda Suriya
3 minit bacaan
Kongsi
Wanita masih perlu melakukan kerja-kerja rumah walaupun dalam masa sama melakukan tugasan kerja dari rumah.
Wanita masih perlu melakukan kerja-kerja rumah walaupun dalam masa sama melakukan tugasan kerja dari rumah.

Shelly Mohamed dan Suria Mahmood sama-sama berpendidikan, kedua-dua mereka menjadi golongan profesional pada usia 40-an, berkahwin dengan anak-anak di penghujung usia remaja.

Mereka berdua, sama seperti ribuan wanita Malaysia lain yang bekerja, menyaksikan kehidupan terganggu disebabkan pandemik Covid-19. Kedua-dua mereka bekerja dari rumah sejak tujuh bulan lepas.

Mereka bagaimanapun memberitahu MalaysiaNow, kesan berbeza bagi setiap dari mereka.

Shelly, pengurus pemasaran sebuah syarikat berkait kerajaan, boleh menyesuaikan diri dengan baik bekerja dari rumah. Ketika suaminya seorang usahawan menguruskan pembelian barang runcit, Shelly mencari masa untuk menyertai beberapa mesyuarat menggunakan Zoom dengan rakan sekerja, menghadiri webinar dan melakukan senaman di rumah melalui kelas maya.

Suria, pakar ekuiti teknologi pula selalu keletihan. Suaminya seorang pegawai bank tidak berperanan secara aktif dalam kehidupan rumah tangga mereka. Suaminya tidak memasak, membersihkan rumah, pergi membeli barang runcit ataupun membantu dalam soal membesarkan anak-anak. Suria berterus terang punca keletihannya adalah di rumah, dan bukan dengan majikannya.

Pandemik itu secara tidak sengaja mencetuskan kembali banyak isu yang sudah lama diketepikan.

Tempat kerja pasca pandemik akan berubah persekitarannya menjadi majoriti lelaki disebabkan satu alasan mudah, apabila kerja di pejabat terhad, wanita dianggap patut berada di rumah memegang batang mop di sebelah tangan sambil mendukung anak.

Hujahnya, dalam satu laporan LeanIn.org yang dikeluarkan minggu lepas, ketika keadaan pandemik terus berlanjutan dengan harapan tipis akan berakhir, ia menguatkan lagi idea wanita melakukan kerja menggunakan komputer riba di meja dapur, ketika periuk mendidih dan anak yang bongsu bertanyakan bila ayahnya akan pulang.

Bahaya lain adalah majikan sekali lagi akan melihat wanita sebagai “beban” kerana mereka perlu mengambil cuti untuk bersalin dan menguruskan hal-hal keluarga.

Keadaan pandemik itu secara tidak sengaja mencetuskan kembali banyak isu yang sepatutnya sudah lama dilupakan.

Profesor Pengajian Gender Universiti Malaya Shanthi Thambiah, memberi amaran mengenai kesan riak jangka panjang terhadap pertumbuhan ekonomi dan penjanaan kekayaan jika penggubal dasar Malaysia menutup mata terhadap fenomena berkaitan pandemik ini.

“Wanita Malaysia merangkumi 55% tenaga kerja,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Selama beberapa dekad, penyertaan wanita dalam tenaga kerja tersekat pada 45-48% sehinggalah pihak kerajaan sedar mengenai kepentingan wanita sebagai peserta dalam tenaga kerja.”

Penyertaan itu bukan soal upah yang kecil.

Menurut satu analisis IMF, dari tahun 2001 hingga 2008 pekerja wanita menyumbang hanya 4% kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia, tetapi dari tahun 2011 hingga 2016 angka tersebut melonjak menjadi 11%.

Secara ringkas, sehingga pandemik, wanita dalam guna tenaga kerja memainkan peranan penting dalam aktviti ekonomi dan penjanaan kekayaan di Malaysia, dan jika pembuat dasar gagal melihatnya selepas berakhirnya pandemik, kelemahan mungkin tidak terhad kepada ekonomi yang perlahan untuk pulih kembali.

Sumbangan wanita secara keseluruhan bukan sekadar untuk memenuhi sebahagian besar tenaga kerja murah di Malaysia, apa yang pasti ia merupakan sebahagian daripada daya tarikan syarikat asing untuk mendirikan kilang di sini.

“Wanita bukan homogen,” kata Shanthi. “Wanita dalam sektor formal dan perkhidmatan awam banyak keistimewaan. Wanita dalam sektor tidak formal yang hilang pekerjaan ketika pandemik ditolak ke peranan rumah tangga untuk melakukan kerja-kerja rumah dan penjagaan.”

Shanthi menekankan tanggungjawab untuk memastikan anak-anak yang berada di rumah ketika pandemik bagi mendapat pendidikan, adalah wanita, tanpa mengira jenis pekerjaan mereka.

“Semakin berpendidikan seseorang wanita itu, semakin banyak tekanan untuk memastikan anak-anaknya tidak hanya belajar tetapi juga berjaya,” katanya.

Oleh itu, jika anak-anak yang dibesarkan ketika pandemik terhalang pembelajaran mereka disebabkan ayah tidak membantu ibu-ibu yang kepenatan bekerja di rumah, kita mungkin akan melihat generasi lepasan sekolah tidak berpengetahuan untuk menyumbang kepada pertumbuhan masa depan Malaysia.

“Ini adalah fenomena kelas pertengahan,” kata Shanthi kepada MalaysiaNow, “tetapi dalam setiap krisis ekonomi, termasuk krisis kewangan Asia 1997, kita melihat pemberhentian pekerja wanita jauh lebih tinggi daripada lelaki, kerana masyarakat masih melihat lelaki sebagai penyedia utama.”

Keadaan pandemik, katanya meningkatkan lagi ketidaksamaan itu.