- Iklan -
Berita

Kemarahan, ketegangan dalam mesyuarat 4 jam Umno paksa Zahid buat ‘pusingan U’

Gesaan presiden Umno untuk gencatan politik berlaku selepas mesyuarat hangat membincangkan surat sokongannya kepada Anwar.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dikatakan menerima tekanan disebabkan suratnya kepada Agong yang menyatakan sokongannya kepada Anwar Ibrahim. Gambar: AFP
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dikatakan menerima tekanan disebabkan suratnya kepada Agong yang menyatakan sokongannya kepada Anwar Ibrahim. Gambar: AFP

“Pusingan U” dilakukan Ahmad Zahid Hamidi hari ini disebabkan tentangan hebat daripada pemimpin Umno yang berkumpul di ibu pejabat parti itu bagi membincangkan surat yang dihantar kepada Agong bagi menyatakan sokongan kepada Anwar Ibrahim, kata sumber kepada MalaysiaNow.

Gesaan presiden Umno itu untuk “gencatan politik” juga dilihat sebagai persediaan kepada cadangan untuk menangguhkan pemilihan parti yang sepatutnya diadakan tahun hadapan.

Petang ini, terdapat ketegangan di Pusat Dagangan Dunia Putra dengan pengerusi perhubungan Umno negeri marah disebabkan pemimpin tertinggi parti secara sepihak menyokong rancangan Anwar untuk menggulingkan kerajaan Perikatan Nasional (PN), yang mana Umno merupakan sebahagian daripadanya.

“Zahid yang menyedari wujud gerakan menggulingkannya bertindak mengeluarkan kenyataan untuk meredakan kemarahan itu,” kata salah seorang individu yang menghadiri mesyuarat itu kepada MalaysiaNow.

Zahid hari ini mengeluarkan kenyataan menggesa “gencatan politik” beberapa hari selepas pendedahan berkenaan beliau dan bekas presiden Umno, Najib Razak menulis surat kepada Agong untuk menyokong Anwar sebagai perdana menteri.

“Zahid yang menyedari wujud gerakan menggulingkannya bertindak mengeluarkan kenyataan untuk meredakan kemarahan itu,” kata salah seorang individu yang menghadiri mesyuarat itu kepada MalaysiaNow.

Difahamkan, mesyuarat hari ini diadakan selepas tekanan daripada beberapa pengerusi perhubungan Umno negeri yang menunggu untuk mendapatkan penjelasan daripada Zahid selepas kandungan suratnya didedahkan MalaysiaNow minggu lepas.

Mesyuarat Majlis Kerja Tinggi Umno bagaimanapun ditangguhkan sebanyak dua kali selepas perintah kawalan pergerakan bersyarat dilaksanakan di beberapa negeri, menyukarkan pemimpin parti untuk ke Kuala Lumpur.

“Zahid harap kenyataannya menggesa Umno untuk memfokuskan kepada melawan Covid-19 akan menenangkan pengerusi perhubungan Umno negeri,” kata sumber sama.

Awal hari ini, MalaysiaNow melaporkan Zahid mungkin antara beberapa ahli Parlimen Umno yang berdepan tuduhan rasuah merancang untuk menggagalkan belanjawan yang bakal dibentang pada 6 November nanti.

Satu lagi sumber memberitahu MalaysiaNow, Zahid juga dikatakan bakal mencadangkan untuk menangguhkan pemilihan Umno yang sepatutnya dijadualkan tahun depan kepada satu tarikh lain.

Pada pemilihan Umno pada 2018, Zahid menewaskan bekas ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dan veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah.

Pemilihan yang berlaku selepas Najib hilang kuasa itu juga amat bersejarah kerana sejak 1988 jawatan presiden dan timbalan presiden Umno tidak pernah dipertandingkan.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.