- Iklan -
Berita

Lebih 700,000 kakitangan pengurusan, penyeliaan bekerja dari rumah mulai esok

Hanya 10% pekerja melibatkan perakaunan, kewangan, pentadbiran, perundangan, perancangan dan ICT dibenarkan berada di pejabat.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Majikan perlu menetapkan garis panduan BDR yang bersesuaian mengikut keperluan syarikat masing-masing. Gambar: Bernama
Majikan perlu menetapkan garis panduan BDR yang bersesuaian mengikut keperluan syarikat masing-masing. Gambar: Bernama

Sebanyak 776,135 atau 25% kakitangan pengurusan dan penyeliaan dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan pembinaan di Sabah, Labuan, Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya diwajibkan bekerja dari rumah (BDR) berkuat kuasa esok.

Ia berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di kawasan-kawasan tersebut.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali berkata pihaknya bersetuju membenarkan maksimum 10% pekerja merangkumi tugasan melibatkan perakaunan, kewangan, pentadbiran, perundangan, perancangan dan ICT untuk berada di pejabat.

“Bagimanapun, ia dihadkan selama 4 jam sahaja bermula jam 10 pagi sehingga 2 petang untuk 3 hari seminggu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azmin berkata, syarikat-syarikat tidak perlu mengemukakan permohonan bagi tujuan ini dan majikan hanya perlu mengeluarkan surat pelepasan perjalanan bagi setiap kakitangan sepanjang tempoh PKPB.

“Majikan perlu menetapkan garis panduan BDR yang bersesuaian mengikut keperluan syarikat masing-masing,” tambahnya.

Katanya, kerajaan akan terus bekerjasama dengan pihak swasta dan industri dalam usaha untuk mempertingkatkan pelaksanaan BDR sebagai norma baru.

Miti juga akan meneruskan pemantauan dan penguatkuasaan yang tegas bagi memastikan pelaksanaan dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan pihak industri.