- Iklan -
Berita

Pemuda Umno tak akan layan sebarang agenda jadikan Anwar perdana menteri

Pemuda Umno juga sebulat suara menyokong "gencatan politik" seperti disarankan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki. Gambar: Facebook
Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki. Gambar: Facebook

Pemuda Umno hari ini mengulangi pendirian menolak sebarang kerjasama dengan Anwar Ibrahim, parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH) terutamanya DAP dan tidak akan melayan sebarang agenda untuk menjadikan presiden PKR itu sebagai perdana menteri.

Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Pemuda Umno juga sebulat suara menyokong “gencatan politik” seperti disarankan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sekaligus dihentikan segera sebarang polemik perebutan kuasa di saat rakyat susah dan gelisah mengharungi cabaran pandemik Covid-19 termasuk natijah kegawatan ekonomi yang melanda.

“Kita juga mendesak kerajaan supaya segera menyediakan Pelan Tindakan Khas (Blueprint) untuk menangani kemelut 2.4 juta rakyat yang bakal kehilangan pekerjaan dan lebih 1.26 juta rakyat yang dijangka mengalami kemiskinan bagi tempoh beberapa bulan akan datang.

“Pemuda Umno juga menyarankan kerajaan melanjutkan moratorium secara pukal sekurang-kurangnya bagi tempoh tiga bulan lagi,” kata ketua Pemuda Umno itu dalam satu kenyataan menerusi laman Facebooknya hari ini.

Ashraf berkata, perkara itu adalah sebahagian inti kepada keputusan mesyuarat jawatankuasa Pemuda Umno yang bermesyuarat secara dalam talian malam tadi.

Mengulas lanjut, Asyraf berkata Pemuda Umno juga meminta kerajaan mempertimbangkan bantuan tambahan RM1,000 kepada setiap penerima Bantuan Prihatin Negara (BPN) Sabah yang cuma menelan kos RM737 juta.

“Ini jauh lebih pantas dan berkesan berbanding hantaran bantuan bakul makanan yang dirumitkan oleh masalah logistik dan rekod penerima yang tidak lengkap.

“Kita juga akan mengerakkan jentera Pemuda Umno di seluruh 191 Bahagian bagi menjadi pemudahcara antara rakyat dengan agensi-agensi kerajaan bagi membantu mereka khususnya anak-anak muda yang sedang dihimpit kesusahan akibat hambatan ekonomi dan sosial,” katanya.

Semalam Umno mengambil pendirian menyokong Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam memfokuskan agenda membantu rakyat dan negara bagi mendepani pandemik Covid-19 serta kegawatan ekonomi.

Zahid berkata Umno akan melakukan gencatan politik bagi memastikan agenda menangani Covid-19 dan membantu rakyat yang sedang dihimpit kesusahan dan kegelisahan akibat hambatan ekonomi dapat ditangani dan diutamakan.

Umno juga mengarahkan semua kepimpinan parti yang berada dalam Kabinet ketika ini memberikan sepenuh tumpuan kepada usaha untuk membantu rakyat dan meringankan beban yang ditanggung mereka.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.