- Iklan -
Berita

Trend lonjakan kes Covid-19 di Amerika Syarikat membimbangkan, kata CDC

AS mencatatkan sekitar 50,000 kes baharu dalam tempoh seminggu sejak kebelakangan ini serta 700 kematian, menurut data CDC.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
AS kekal negara yang mencatatkan jumlah kes dan kematian Covid-19 tertinggi. Gambar: AFP
AS kekal negara yang mencatatkan jumlah kes dan kematian Covid-19 tertinggi. Gambar: AFP

Amerika Syarikat (AS) berdepan trend membimbangkan berikutan lonjakan kes Covid-19 berlipat ganda dilaporkan di kebanyakan negeri, menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) pada Rabu, lapor Agensi Anadolu.

“Malangnya kita menyaksikan trend yang menyedihkan di AS dengan kes Covid-19 meningkat di hampir 75 peratus di negeri,” kata pakar penyakit berjangkit Jay Butler pada satu taklimat media.

AS mencatatkan sekitar 50,000 kes baharu dalam tempoh seminggu sejak kebelakangan ini serta 700 kematian, menurut data CDC.

Butler berkata peningkatan berlaku di seluruh AS, terutama di bahagian tengah barat daya, berikutan pergerakan penduduk disebabkan penurunan suhu dan banyak majlis keluarga serta kejiranan diadakan.

Dekan Kolej Perubatan Baylor, Dr. Peter Hotez, memberitahu CNN perjuangan melawan Covid-19 kian mencabar memandangkan musim sejuk yang bakal tiba.

“Malangnya, ini akan menjadi musim sejuk yang mengerikan,” katanya.

AS kekal negara yang mencatatkan jumlah kes dan kematian Covid-19 tertinggi.

Secara keseluruhan, AS mempunyai lebih 8.3 juta kes jangkitan serta lebih 221,000 kematian.

Sementara itu ketua Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia Alex Azar berkata pemberian vaksin Covid-19 terutamanya kepada golongan berisiko dan yang lemah mungkin dimulakan pada akhir tahun ini.

Sekarang AS secara besar-besaran menghasilkan enam vaksin dengan jangkaan sekurang-kurangnya satu vaksin akan mendapat kelulusan Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan.

Menjelang akhir Mac atau awal April, AS merancang menyediakan vaksin yang cukup untuk semua rakyat Amerika, kata Azar.