- Iklan -
Berita

‘Tarikh luput’ untuk pemimpin politik, adakah ia wajar?

“Apabila tiba masa yang sesuai pengundi kebiasaan akan memilih calon yang sudah lama berkecimpung dalam bidang politik.”

Amanda Suriya
3 minit bacaan
Kongsi

Apabila beliau yang berusia 92 tahun dilantik menjadi perdana menteri Malaysia pada tahun 2018, beliau menjadi pemimpin tertua di dunia.

Dan dunia mengiktiraf betapa segak penampilan dan masih cerdas pemikirannya.

Tidak lain tidak bukan, beliau adalah Dr Mahathir Mohamad, yang kembali menjawat jawatan perdana menteri untuk kali kedua selepas 15 tahun bersara daripada memegang jawatan politik.

Dua tahun kemudian beliau tidak lagi menjawat jawatan itu, membuatkan beliau sudah tidak sibuk lagi ketika keadaan kepimpinan politik ketika ini dipenuhi dengan pertengkaran, pergolakan dan ketidaktentuan.

Media sosial dibanjiri rakyat Malaysia pelbagai peringkat umur mengutarakan pandangan politik mereka. Ramai yang bertanya, adakah sudah sampai masanya untuk menetapkan usia persaraan ahli politik sama seperti kita orang biasa yang mempunyai jangka hayat kerja?

Apabila orang “biasa” mencapai usia 60-an, mereka tidak diberikan pilihan selain terpaksa duduk di rumah dan menghabiskan sisa-sisa hidup atas kerusi malas, mengimbas kembali zaman kegemilangan mereka bersama rakan-rakan yang masih hidup.

Suara masyarakat memberitahu mereka: Anda tidak lagi diperlukan; kami boleh menguruskannya tanpa bantuan anda. Atau bagi sesetengah orang ia seperti masyarakat berkata: Terima kasih di atas khidmat anda, selamat bersara, masa anda sudah tiba.

Walau apa jua, rata-rata rakyat Malaysia tidak mempunyai banyak pilihan: mereka tidak lagi diperlukan.

Akan tetapi, tidak ada usia persaraan bagi pemimpin-pemimpin kita.

Adakah rakyat mahu melihat had umur pemimpin politik dilaksanakan atau sebaliknya.

Perlukah?

Satu pungutan suara tidak rasmi MalaysiaNow mendapat pelbagai reaksi berbeza.

Harish, 58, dengan tegas berkata: “Tidak”; “Ia satu diskriminasi untuk menetapkan had umur kepada ahli politik. Sekarang ini, terdapat masalah ahli politik lama bergaduh tentang masalah lama mereka, tetapi bukan umur mereka yang bermasalah: fikiran mereka yang sempit.”

Penyelesaiannya untuk masalah itu? “Mudah sahaja,” katanya. “Hadkan tempoh memegang jawatan.”

Andrew, 44, berkata, “Kita memerlukan pemimpin yang masih bertenaga untuk berada seiring dengan peredaran masa. Mereka perlu memiliki kekuatan metal dan fizikal. Terlalu banyak ahli politik lama sudah tentu tidak mempunyai idea baru dan mereka harus memberi laluan kepada orang muda.”

Baik calon muda atau tua, mereka menggesa para pengundi untuk memilih mereka menjadi pembuat dasar yang akhirnya menentukan kehidupan pengundi.

Tetapi bagaimana kepelbagaian dalam pengundi Malaysia, yang kini termasuk mereka yang 18 tahun, memilih antara calon muda bertenaga dan calon veteran yang lebih cerdik serta berpengalaman?

Pensyarah Psikologi Politik Universiti HELP Kuala Lumpur Pak Wei Han berkata, pengundi lebih cenderung memilih pemimpin politik lebih tua disebabkan mereka dikatakan lebih bijak berbanding calon muda. Bagaimanapun keadaan ekonomi turut mempengaruhi pilihan pengundi.

Penyelesaiannya untuk masalah itu? “Mudah sahaja,” katanya. “Hadkan tempoh memegang jawatan.”

“Apabila keadaan ekonomi stabil dan baik, kebiasaannya pengundi akan memilih calon yang sudah lama berkecimpung dalam dunia politik,” katanya. “Tetapi jika keadaan ekonomi tidak stabil, ada kemungkinan timbul rasa tidak puas hati dengan kerajaan dan calon muda akan menjadi pilihan.

Pak menjelaskan bagaimana pengundi sering membuat keputusan berdasarkan “soundbites” atau petikan suara yang dirancang mempengaruhi emosi mereka.

Ramai pengundi tidak begitu aktif mengikuti politik dan undi mereka bukan berdasarkan sejarah calon dan polisi terkini tetapi berdasarkan ciapan terbaru mereka.

“Ia bukanlah sesuatu yang buruk jika menetapkan had umur dalam sistem politik Malaysia.” katanya. “Tetapi jauh lebih penting untuk menerapkan kesedaran politik dalam sistem pendidikan kita. Dengan cara itu kecenderungan pilihan para pengundi bukan berdasarkan maklumat yang tidak cukup, terburu-buru atau tidak rasional hanya kerana mereka mempunyai rasa sedap hati tentang calon itu.”

Caroline Kiya, yang ayahnya merupakan seorang ahli Parlimen Sarawak selama sepenggal berkata, “Ya, tetapkan had umur tetapi perlu ada ruang untuk pengecualian. Saya cadangkan usia 68 sebagai had umur rasmi, kemudian benarkan sehingga 75 tahun selepas ujian kesihatan fizikal dan mental serta penilaian prestasi politik dilakukan,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Bukan nak kata calon muda tidak berpotensi, tetapi mereka tidak sepatutnya terus dilantik menjadi menteri. Sama seperti dunia korporat, bermula dari bawah dahulu dan berusaha naik ke atas, mereka perlu diselia seorang mentor dalam usia 50-an hingga 60-an.

Kita mungkin berfikir sejenak apa reaksi seorang ahli politik berusia 95 tahun yang masih aktif berpolitik dan bercita-cita tinggi tentang pandangan ini.