Individu yang mempunyai surat kebenaran majikan atau pas pekerja untuk ke tempat kerja perlu dilepaskan daripada sekatan jalan raya, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob.
Sehubungan itu, berkata polis tidak seharusnya mengarahkan mereka yang mempunyai salah satu dokumen itu untuk berpatah balik ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan di beberapa negeri pada masa ini.
Ismail berkata polis tidak dibekalkan senarai bahagian pekerjaan yang memerlukan pekerja ke pejabat atau bekerja dari rumah, namun pengumuman kerajaan sebelum ini adalah jelas iaitu pekerja di kawasan PKPB bahagian pengurusan dan penyeliaan perlu bekerja dari rumah.
“Majikan yang menentukan pelepasan dan kebenaran pekerja tertakluk kepada pengumuman kerajaan.
“Bagi yang dibenarkan (ke pejabat), majikan akan keluarkan surat kebenaran dan jika rentas daerah mereka hanya perlu ada pas pekerja, bermakna polis perlu lepaskan mereka,” katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), di Kuala Lumpur, hari ini.
Beliau mengulas mengenai laporan muka depan sebuah akhbar tempatan bahawa ada majikan mendakwa terdapat pekerja yang bukan daripada bahagian pengurusan dan penyeliaan dihalang oleh polis untuk ke pejabat dan diarah berpatah balik.
Ismail berkata polis tidak dibekalkan senarai bahagian pekerjaan yang memerlukan pekerja ke pejabat atau bekerja dari rumah, namun pengumuman kerajaan sebelum ini adalah jelas iaitu pekerja di kawasan PKPB bahagian pengurusan dan penyeliaan perlu bekerja dari rumah.
Sementara, bahagian lain yang memerlukan mereka hadir ke pejabat, pekerja perlu berbuat demikian dengan melengkapkan diri dengan surat kebenaran majikan atau pas pekerja, katanya.
Dalam pada itu, Ismail mengingatkan penerima Bantuan Prihatin Nasional (BPN) 2.0 agar tidak bersesak-sesak, sebaliknya mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) ketika membuat pengeluaran wang di bank.
“Seperti kita tahu, ada 10.6 juta penerima sedia ada, dan bayaran akan dibuat dalam masa terdekat. Jadi kita harap penerima akan mengikut arahan yang diberikan oleh pemantau seperti anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang akan ditempatkan di setiap bank tersebut,” katanya.
Sebelum ini, kerajaan mengumumkan penyaluran BPN 2.0 bermula Isnin ini, yang melibatkan 10.6 juta penerima.