- Iklan -
Berita

Ingkar SOP, wartawan kongsi detik dijangkiti Covid-19

Badan lemah serta batuk tak henti-henti sehari selepas pulang dari Sabah.

Fazreen Kamal
2 minit bacaan
Kongsi
Sebagai pengamal media, kita tak punya pilihan kerana tugas mengehendaki kita berada di hadapan.
Sebagai pengamal media, kita tak punya pilihan kerana tugas mengehendaki kita berada di hadapan.

Ketika dunia masih berdepan dengan pandemik yang menjejaskan ekonomi dan kehidupan di seluruh dunia, dijangkiti Covid-19 bukanlah sesuatu diharapkan, apa lagi bagi petugas barisan hadapan seperti wartawan yang terpaksa bertarung nyawa dalam membuat liputan.

Sehingga kini, masih belum ada vaksin yang mampu merawat virus misteri itu, di Malaysia sahaja Covid-19 sudah meragut lebih 200 nyawa dan menjangkiti lebih 22,000 orang.

Azrul Affandi Sobry, 42, yang juga seorang wartawan Berita Harian menceritakan bagaimana beliau dijangkiti Covid-19 kerana tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 seperti yang ditetapkan kementerian kesihatan semasa membuat liputan Pilihan Raya Negeri Sabah baru-baru ini.

“Dari hari pertama saya buat ‘coverage’ sampai hari terakhir saya balik saya tak pernah ikut SOP, saya sedar mungkin itu sebab utama dan tak boleh nak salahkan rumah Mohd Shafie Apdal, tapi salah pada diri sendiri,” kata Azrul kepada MalaysiaNow merujuk kepada rumah bekas ketua menteri Sabah.

“Tapi semua orang tahu kot itulah masalah pada orang media, kita takde pilihan kita kena pergi sampai ke depan juga kan.”

“Jadi saya syak diri saya sendiri langar SOP, tak ikut SOP dan pergi ke kawasan yang sangat ramai orang. Penjarakan sosial memang tak dibuat dan pelitup muka pun tak digunakan,” katanya.

Menurut Azrul, selepas pulang dari Sabah pada 30 September lalu seperti yang lain, beliau perlu melakukan ujian swab dan dipakaikan gelang merah jambu setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan diarahkan kuarantin kendiri selama 14 hari.

“Tapi semua orang tahu kot itulah masalah pada orang media, kita takde pilihan kita kena pergi sampai ke depan juga kan.”

Menceritakan pengalamannya sepanjang menjalani kuarantin selama 14 hari di wad isolasi Hospital Sungai Buloh, Azrul tiga kali dipindahkan ke wad berbeza gara-gara batuk teruk dan sering pening kepala.

Katanya, disebabkan pertambahan mendadak kes positif Covid-19 di Lembah Klang membuatkan pesakit akan dibenarkan pulang selepas hari kesepuluh sekiranya tidak mempunyai simptom yang teruk.

Azrul berkata walaupun beliau masih lagi positif Covid-19, pesakit tidak akan menyebarkan virus itu selepas hari kelapan dan terpulang kepada imuniti badan masing-masing untuk sembuh.

“Tapi selama ini kementerian dia berwaspada dia buat sampai 14 hari supaya lebih. Tapi sebab terlalu banyak kes dia orang takde pilihan jadi dia orang akan cepat keluarkan kita orang.”

“Daripada 14 dia turun ke 10 hari jadi tengok pula kalau dah memang orang tu sihat orang tu takda sebarang simptom sudah dibenarkan pulang malah boleh dikatakan semua yang berada dalam wad isolasi sihat sebenarnya 80% dalam wad itu boleh berlari,” katanya.

Bagi Azrul yang sebelum ini dikenali sebagai “cikgu Covid” di kalangan pengikutnya di Facebook kerana sering memberi nasihat dan petua kepada orang ramai mengenai cara mencegah diri daripada terkena jangkitan penyakit berbahaya itu berharap orang ramai tidak paranoid atau fobia dengan bekas pesakit.

“Yang paranoid yang sentiasa skeptikal dengan pesakit covid-19, dia orang ni nampak kami macam banduan tak boleh rapat tak boleh dekat, bukan sorang dua kawan-kawan saya pun ramai macam tu.”

“Jadi saya nak bagi tau dia orang kena belajar sikit, bukan Covid sahaja bahaya Influenza pun bahaya semua boleh merebak tapi dia orang nampak Covid paling bahaya memang bahaya tapi sama je,” katanya dalam wawancara bersama MalaysiaNow.