- Iklan -
Berita

Langkah tambahan diperlukan untuk pembeli muda miliki rumah menjelang pembentangan belanjawan

Pengurangan cukai duti setem untuk rumah pertama perlu diperkenalkan semula.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Lebih awal mereka membeli hartanah, lebih banyak masa untuk golongan muda mendapat manfaat.
Lebih awal mereka membeli hartanah, lebih banyak masa untuk golongan muda mendapat manfaat.

Portal hartanah iProperty menggesa kerajaan untuk mengkaji semula dasar dan memperkenalkan langkah-langkah tambahan bagi menggalakkan pemilikan rumah dalam kalangan golongan muda pada pembentangan belanjawan yang akan dibentang oleh Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz  pada 6 November ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, ia menyenaraikan beberapa faktor seperti pengurangan cukai duti setem untuk pembeli rumah kali pertama perlu diperkenalkan semula kerajaan.

“Lebih awal mereka membeli hartanah, lebih banyak masa untuk golongan muda mendapat manfaat daripada modal pelaburan hartanah mereka,” kata kenyataaan itu.

Ia turut mencadangkan pengurangan duti setem untuk pembeli rumah kali pertama selepas Kempen Pemilikan Rumah (HOC) berakhir tahun depan dan juga diperluaskan pengurangan itu ke pasaran sekunder atau subsale.

HOC yang dilancarkan tahun lepas merupakan inisiatif kerajaan untuk merangsang sektor perumahan negara.

Menyentuh mengenai cukai keuntungan harta tanah (CKHT), iProperty berkata inisiatif di bawah pakej Penjana yang memberikan pengecualian kepada pelupusan tiga unit rumah kediaman bagi setiap individu perlu diperbaiki.

“Kami berharap belanjawan baru ini akan memperbaiki inisiatif CKHT sedia ada dengan menghapuskan atau melonggarkan had unit pelupusan setiap individu untuk meningkatkan keyakinan dalam kalangan penjual hartanah.

“Ini akan membantu merangsang lebih banyak transaksi dan mendorong penjual untuk memanfaatkan penjimatan daripada pengecualian ini kepada pembeli,” katanya.

Ia turut bercakap mengenai insentif penyewaan bagi menyokong permintaan sewaan rumah mengambil kira ketidaktentuan disebabkan pandemik Covid-19.

HOC yang dilancarkan tahun lepas merupakan inisiatif kerajaan untuk merangsang sektor perumahan negara.

“Lebih ramai orang bekerja dari rumah, keperluan untuk mempunyai persekitaran hidup yang selesa dan kondusif menjadi keutamaan,” tambahnya.

“Menyewa mampu memberikan ruang penjimatan kos penginapan dalam jangka pendek kepada ramai orang.”

Ia turut mencadangkan, kerajaan boleh memperkenalkan insentif kepada penyewa kali pertama dan yang sudah lama.

“Selain itu, pemilik rumah yang menghadapi kesukaran untuk menjual hartanah mereka pada masa ini boleh mempertimbangkan sewaan jika insentif yang menarik diperkenalkan.

“Inisiatif jenis ini akan memberi mereka faedah untuk sewaan. Sebagai contoh, pada awal tahun ini kerajaan mengumumkan potongan cukai kepada tuan tanah yang memberikan diskaun pada kadar sewa.”

Tambahnya, kerajaan turut disaran untuk melihat prospek daripada pembeli asing, dan berharap belanjawan akan menghidupkan semula program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) bagi menggalakkan pelaburan asing dalam pasaran hartanah tempatan.

“Di samping itu, proses permohonan boleh diselaraskan untuk lebih mesra pelabur bagi menggalakkan lebih ramai pembeli asing,” katanya.

“Tambahan pula, program MM2H mengurangkan harta tanah tidak terjual dan pembekalan unit tidak terjual dalam pasaran subsale.”

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.