Pemimpin tertinggi Umno hari ini memperbaharui komitmen parti, mengekalkan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) sekaligus memberi tamparan kepada bekas presiden parti itu, Najib Razak yang mencadangkan kerjasama dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim.
Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno yang bersidang sejak malam tadi turut mengulangi nada sama untuk tidak bekerjasama dengan PKR dan DAP.
Ahli Parlimen Umno terus menyatakan sokongan kepada kerajaan PN.
“Umno turut menggesa kerajaan Perikatan Nasional menambah baik prinsip kerjasama atas dasar “political consensus”,” kata kenyataan MKT Umno itu.
Dalam mesyuarat hampir empat jam itu juga, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata MKT Umno juga menyarankan agar inisiatif Rekonsiliasi Nasional atau Agenda Perdamaian Nasional segera dilaksanakan.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, usaha tersebut dapat dilakukan dengan menggembleng penyertaan semua parti politik yang bernaung dalam kerajaan PN dan juga parti-parti pembangkang.
Selain itu, katanya Umno turut mendokong sepenuhnya titah dan saranan Yang di Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu agar dikendurkan segala ketegangan politik dengan melakukan gencatan politik bagi memastikan kestabilan politik negara dapat terus dipertahankan.
Sebelum ini, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah tiada keperluan untuk darurat diisytiharkan di negara ini.
Perkara itu diputuskan selepas memperhalusi permohonan yang dipersembahkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan berbincang dengan Raja-Raja Melayu selain melihat situasi sedang dihadapi negara ketika ini.