Perdana Menteri Muhyiddin Yassin harus diberi ruang seluasnya untuk memimpin negara, serta menentukan corak pentadbirannya tanpa ada sebarang tekanan, kata Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa.
Beliau yang juga setiausaha agung Barisan Nasional (BN) berkata, soal berkaitan pelantikan jawatan timbalan perdana menteri adalah merupakan hak istimewa atau prerogatif perdana menteri.
“Timbalan perdana menteri itu adalah orang paling kanan kepada perdana menteri, bolehkah letak seseorang yang tidak boleh bekerjasama? Sudah tentu tidak begitu,” katanya.
“Perdana menteri fikir tidak perlu ada jawatan timbalan perdana menteri dan gunakan sistem empat menteri kanan, kita terima.
“Kalau sekarang perdana menteri berubah fikiran nak seorang timbalan perdana menteri pun kita terima,” katanya kepada media selepas majlis penyampaian sumbangan kepada komuniti Putrajaya di bawah Wilayah Cakna 3.0 di Putrajaya hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan media berkenaan desas-desus tiga pemimpin Umno disebut-sebut dipertimbangkan untuk dilantik sebagai timbalan perdana menteri iaitu Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan, Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob dan bekas naib presiden Umno Hishammuddin Hussein.
Annuar berkata adalah tidak salah untuk memberikan syor dan pandangan, tetapi ia tidak harus dilihat seolah-olah perdana menteri ditekan.
“Timbalan perdana menteri itu adalah orang paling kanan kepada perdana menteri, bolehkah letak seseorang yang tidak boleh bekerjasama? Sudah tentu tidak begitu,” katanya.