Seorang ahli akademik Perancis yang mengkaji politik Malaysia terutamanya membabitkan Dr Mahathir Mohamad berkata komen bekas perdana menteri itu dalam Twitter perlu dilihat mengikut konteks pandangan dunia yang membentuknya.
Sophie Lemiere, ahli antropologi politik yang mengkaji politik kontemporari Malaysia sejak beberapa tahun lalu berkata, ciapan kontroversi bekas perdana menteri itu, yang dipadam Twitter sememangnya dimahukan Mahathir.
“Mahathir suka kontroversi. Itu memang ‘makanan’ dia,” katanya.
Mahathir sebelum itu dalam ciapan Twitternya menulis “Orang Islam ada hak untuk marah dan membunuh berjuta rakyat Perancis atas penyembelihan di masa lalu,” komen yang dilakukan selepas meningkatnya keganasan dikatakan dilakukan umat Islam termasuk komen Islamofobia oleh Presiden Perancis Emmanuel Macron.
Macron bertindak mempertahankan karikatur Nabi Muhammad yang mencetuskan kontroversi selepas seorang guru dipenggal kepala kerana menunjukkan kartun Nabi Muhammad kepada murid-muridnya.
Beliau juga meminta Perancis dibersihkan daripada apa yang disebutnya sebagai pemisah Muslim, mencetuskan protes daripada umat Islam seluruh dunia termasuk beberapa siri insiden keganasan di negara itu.
Dalam catatan blognya, Mahathir menyifatkan Macron sebagai “sangat primitif” kerana menyalahkan Islam dalam kes pembunuhan guru tersebut.
“Mahathir suka kontroversi. Itu memang ‘makanan’ dia,” katanya.
“Tetapi tanpa mengira agama yang dianuti, orang sedang marah berisiko untuk melakukan pembunuhan. Rakyat Perancis dalam sejarah mereka membunuh berjuta-juta orang dan kebanyakan beragama Islam.
“Orang Islam ada hak untuk marah dan membunuh berjuta-juta rakyat Perancis atas pembunuhan masa lalu. Tetapi kebanyakan orang Islam tidak tidak mengguna pakai ‘hukuman darah dibalas darah’. Muslim tidak berbuat demikian. Orang Perancis juga tidak harus buat demikian. Orang Perancis sebaliknya perlu belajar menghormati perasaan orang lain,” kata Mahathir dalam ciapan Twitter miliknya dan juga blog chedet.cc.
Komen itu dibuat beliau beberapa jam selepas satu lagi serangan berlaku di Perancis.
Menjawab reaksi marah terhadap komen Mahathir, Lemiere, yang sedang menulis mengenai biografi politik baru Mahathir berjudul, “The Last Game: Malaysian Politics in the Eye of Mahathir”, turut mengecam tulisan oleh presiden PKR Anwar Ibrahim mengenai perkembangan semasa di Perancis sebagai “kurang cerdik”.
Katanya Mahathir adalah seorang yang tegas bercakap perkara benar tetapi dengan kepentingan tempatan menjadi keutamaan.
“Mahathir menubuhkan sebuah parti baru pada bulan Ogos lalu (Pejuang) dan berusaha menarik ahli baru daripada parti-parti konservatif Melayu-Islam yang lain,” katanya.
Katanya seseorang perlu menilai Mahathir dalam konteks beliau dibesarkan dalam era mana.
“Mahathir bukan feminis dan mencerminkan paradigma lelaki berusia 95 tahun. Contohnya: Cuti bersalin padanya hanya satu merugikan ekonomi.”
Tetapi Lemiere berkata pemimpin-pemimpin Malaysia tidak memahami hal berkaitan masyarakat Perancis, dengan berkata cabaran struktur menjadi satu masalah berterusan dalam masyarakatnya.
Begitu juga, katanya golongan elit politik Perancis juga tidak menghiraukan “kekompleksnya Islamisme, Islam atau apa yang disebut sebagai dunia Islam”.
Lemiere berkata komen Mahathir merupakan batu loncatan dalam keperluan politik tempatannya.
“Beliau adalah pakar dalam pengurusan krisis, terutama melibatkan perkara dimulakan beliau. Provokasi krisis antarabangsa dijadikan sebagai sasaran untuk mencapai cita-cita dalam negara.”