Krisis pandemik Covid-19 menyebabkan sektor perniagaan teruk terjejas sehingga pada tahap yang tidak dapat dibayangkan mahupun diduga.
Separuh daripada tenaga kerja dunia bimbang akan kehilangan pekerjaan dalam tempoh 12 bulan akan datang, kata laporan Forum Ekonomi Dunia dalam satu kajian membabitkan 27 buah negara termasuk Malaysia.
Laporan yang dikeluarkan minggu lalu itu, turut mendedahkan beberapa berita baik termasuk peluang kerja baru, tetapi hanya membabitkan mereka dengan kemahiran dan pengetahuan dalam bidang teknologi.
Pasaran tenaga kerja berubah dengan pantas, dan kesan pandemik menyebabkan perniagaan perlu menerapkan lebih banyak teknologi dalam operasi mereka secara tidak langsung memerlukan pekerja dilengkapi kemahiran baru.
Bagi graduan baru yang ingin menjejakkan kaki ke dunia korporat, sikap senang menyesuaikan diri adalah lebih penting jika mahu terus ke depan.
Pakar perekrutan syarikat Pete Yoong dan Jay Huang, yang beroperasi di Malaysia dan Singapura memberitahu MalaysiaNow pengambilan pekerja oleh syarikat-syarikat besar sebenarnya sedang meningkat sungguhpun kadar pengangguran meningkat.
“Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, sektor perniagaan seperti peruncitan paling tidak aktif atau berpindah menggunakan perniagaan dalam talian, menyebabkan pengeluar barangan pengguna berada dalam keadaan tidak menentu,” kata Yoong.
“Sektor yang berkembang pesat seperti pembuatan sarung tangan dan pengeluar barangan pengguna, ataupun sektor penjagaan kesihatan tidak pernah berhenti mengambil pekerja baru.”
Huang berkata ketika fasa awal PKP, syarikat-syarikat masih tidak jelas mengenai pengaruh pandemik Covid-19 terhadap perniagaan mereka.
“Sekarang, syarikat-syarikat kembali menggaji graduan untuk program pengurusan dan jumlah permohonan meningkat sekurang-kurangnya 50%.”
Tetapi ia tidak bermaksud peluang kerja kembali seperti sediakala sama seperti sebelum berlakunya pandemik.
Baik pihak majikan mahupun pencari kerja perlu bersedia mempelajari norma baru dalam melakukan rutin kerja sebelum ini dan beberapa perkara baru yang lain.
“Kesanggupan untuk belajar mesti seiring dengan kebolehan dan kemahiran baru yang diperlukan untuk perubahan tersebut,” kata Huang. “Paling penting adalah cara berfikir dan apa yabng diharapkan perlu berubah.”
Mengambil contoh Zoom, aplikasi sidang video yang sudah wujud sejak tujuh tahun lepas, tetapi secara tiba-tiba dikenali ketika pandemik melanda bagi membolehkan syarikat dan tenaga kerja meneruskan operasi perniagaan seperti biasa.
“Sekarang, syarikat-syarikat kembali menggaji graduan untuk program pengurusan dan jumlah permohonan meningkat sekurang-kurangnya 50%.”
“Ia adalah satu peringatan, bahawa organisasi dan orang perlu berubah” kata Huang.
Cara organisasi melihat pencari kerja sudah tidak sama dan apa yang diharapkan kepada mereka sudah beralih.
“Sebelum Covid-19, ijazah anda mungkin laku untuk tempoh 10 tahun, tetapi disebabkan pandemik ia mengubah organisasi, yang bermaksud semua orang harus belajar perkara baru dengan cepat, mungkin ijazah sekarang anda hanya mampu bertahan dua tahun dalam kerjaya anda,” tegas Huang.
“Pencari kerja juga perlu melakukan penyesuaian, seperti jumlah gaji yang dipohon. Suka atau tidak ia demi kebaikan masa depan jangka panjang.”
Hasil perbincangan dengan pelanggan korporat mereka mengenai pengembangan bakat membuka ruang untuk Yoong dan Huang menemui beberapa isu berbangkit.
Salah satunya, kata Huang, majikan dan pencari kerja percaya faktor umur pada peringkat tertentu mempengaruhi keupayaan untuk berubah. Itu tidak benar, dakwaan pekerja lebih tua sukar menyesuaikan diri dengan persekitaran kerja digital, tegasnya.
“Kesanggupan dan keupayaan adalah dua perkara yang diperlukan untuk pekerja berubah dan menyesuaikan diri,” katanya. “Had umur memang mempengaruhinya, tetapi ia bukan satu faktor.”
Kesimpulannya, anggapan sebegitu salah bahawa hanya golongan muda mampu mengambil risiko untuk lebih produktif dalam pembangunan tenaga kerja yang dinamik, kata mereka.
Tidak juga benar bahawa teknologi bakal menggantikan semua kerja.
“Sejauh mana teknologi dapat menggantikan pekerjaan tertentu tetapi apabila anda melihat syarikat yang sudah ke depan – seperti media digital sejak 15 tahun lalu yang tidak terjejas,” kata Yoong.
“Malah, pekerjaan baru muncul di mana peranan termasuk pakar analisis data dan media sosial diwujudkan.
“Realitinya, orang yang lambat untuk berubah merupakan mereka yang terganggu dan akan hilang pekerjaan.”
Apabila kita melepasi fasa pandemik, kemampuan menyesuaikan diri akan menjadi pemacu kepada proses pemulihan dan kemajuan ekonomi kerana Covid-19 sudah mempercepatkan keperluan penggunaan teknologi.
Trend ini juga akan mempengaruhi proses menggaji pekerja,kata Yoong, mengambil contoh temuduga menerusi panggilan video. Calon perlu menyesuaikan diri atau akan ketinggalan.
Dia memberi amaran kepada pencari kerja yang berharap “apabila semuanya kembali normal” temuduga digital akan lenyap. “Tidak” katanya. “Semuanya akan terus kekal.”