- Iklan -
Berita

PM tinjau persiapan penghantaran bantuan ke Sabah

Antara barangan yang dibawa termasuk pelitup muka, peralatan perlindungan diri (PPE), pelindung muka, baju penutup badan.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin (dua dari kiri) melihat persiapan misi bantuan ke Sabah di Pangkalan Udara Subang. Gambar: Facebook
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin (dua dari kiri) melihat persiapan misi bantuan ke Sabah di Pangkalan Udara Subang. Gambar: Facebook

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hari ini meninjau persiapan penghantaran barang-barang keperluan kritikal bagi menangani pandemik Covid-19 ke Sabah dan Sarawak oleh Tentera Udara (TUDM) di Pangkalan Udara Subang.

Muhyiddin tiba di pangkalan TUDM pada 8.15 pagi dan disambut oleh Panglima Tentera Udara Jen Ackbal Abdul Samad.

Turut mengiringi perdana menteri ialah Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Kesihatan Dr Adham Baba.

Muhyiddin kemudiannya diberikan taklimat ringkas oleh Ackbal mengenai penugasan pesawat-pesawat TUDM sebelum melakukan tinjauan proses persiapan memasukkan barang-barang bantuan ke dalam badan pesawat A400M oleh anggota Cabang Pergerakan Udara Subang serta anak kapal pesawat yang terlibat dengan penghantaran itu.

Pesawat A400M itu membawa 13 tan barangan kelengkapan dan peralatan daripada Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Kementerian Pertahanan, Yayasan Amal Malaysia dan Sunway Healthcare.

Setakat semalam, Sabah adalah negeri yang paling teruk dilanda gelombang ketiga Covid-19 dengan 352 kes baharu daripada 649 kes yang direkod di seluruh negara. Kes Covid-19 di Sabah mencecah 14,053 kes daripada keseluruhan 30,090 kes di seluruh negara.

Antara barangan yang dibawa adalah pelitup muka, peralatan perlindungan diri (PPE), pelindung muka, baju penutup badan/jumpsuit, skrin wad, troli prosedur, penutup gaun/kasut, kabinet keselamatan biologi, kerusi makmal, sel darah merah dan platelet darah.

Selain itu, peralatan ventilator, sarung tangan getah, pensanitasi tangan, tudung, al-Quran, doa Darussyifa, pakaian dan peralatan.

Pesawat itu berlepas kira-kira pada 10 pagi tadi ke Kuching, Sarawak serta Tawau dan Kota Kinabalu di Sabah dengan jumlah penerbangan akan mengambil masa kira-kira 10 jam.

Semasa tinjauan selama kira-kira 30 minit itu, Muhyiddin turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada anggota TUDM serta agensi-agensi lain yang terlibat sebagai baraisan hadapan yang sentiasa bertungkus-lumus membantu negara bagi mengawal dan memerangi pandemik Covid-19.