- Iklan -
Berita

Ahli ekonomi jangka belanjawan sektor pendidikan dipotong akibat Covid-19

Universiti awam dijangka terpaksa 'mengikat perut' dalam peruntukan pengurusan dan perbelanjaan kakitangan selain pengagihan biasiswa bakal diteliti secara mendalam.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Belanjawan 2021 dijangka akan mengurangkan peruntukan sektor pendidikan bagi menumpu usaha memerangi Covid-19 yang diperlukan kementerian kesihatan.
Belanjawan 2021 dijangka akan mengurangkan peruntukan sektor pendidikan bagi menumpu usaha memerangi Covid-19 yang diperlukan kementerian kesihatan.

Pandemik dijangka akan menjejaskan peruntukan sektor pendidikan dalam Belanjawan 2021 selepas kementerian kesihatan memerlukan perbelanjaan “gergasi” dalam usaha memerangi penularan Covid-19 dalam negara, kata pakar ekonomi.

Barjoyai Bardai dari Universiti Tun Abdul Razak berkata belanjawan pengurusan kerajaan yang akan dibentangkan pada 6 November bakal menyaksikan pemotongan di beberapa bahagian termasuklah belanjawan yang boleh dikurangkan berkait dengan pembekalan, elaun rakyat, elaun pengangkutan dan lain-lain berjumlah RM2 bilion hingga RM30 bilion.

“Ini pun sudah cukup. Kita mungkin ada perbelanjaan RM250 bilion lagi di situ termasuklah perbelanjaan pendidikan, kementerian tinggi dan lain-lain,” katanya kepada MalaysiaNow.

Beliau berkata kemungkinan besar sektor universiti awam terpaksa “ikat perut” dengan memotong peruntukan pengurusan dan perbelanjaan kakitangan akan tetapi sekiranya terus beroperasi berterusan secara dalam talian, banyak penjimatan boleh dilakukan.

“Norma baru dan kaedah baru pembelajaran yang tidak memerlukan mahasiswa berada di dalam kampus berupaya menjimatkan perbelanjaan universiti awam,” katanya.

Barjoyai turut meramalkan, penganugerahan biasiswa pelajar ke luar negara akan diteliti dengan melihat sama ada wujud keperluan untuk menghantar mereka secara fikizal atau boleh mengikuti pengajian secara dalam talian tanpa perlu perjalanan rentas sempadan antarabangsa.

Sebelum ini Yang di Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah mengingatkan ahli-ahli Parlimen Belanjawan 2021 sangat penting untuk sektor kesihatan awam dan petugas barisan hadapan dalam memerangi penularan jangkitan Covid-19.

Tahun lalu, jumlah keseluruhan Belanjawan 2020 sebanyak RM297.02 bilion, turun 5.5% berbanding peruntukkan sebelumnya. Kementerian Pendidikan menjadi penerima terbesar belanjawan tersebut sebanyak RM64.1 bilion.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera Muzzamil Ismail berkata isu pendidikan perlu menjadi perkara utama dalam pembentangan belanjawan terutama sekali melibatkan pendidikan belia yang dilihat paling terkesan kerana golongan itu yang paling banyak kehilangan pekerjaan sepanjang tempoh pandemik.

“Norma baru dan kaedah baru pembelajaran yang tidak memerlukan mahasiswa berada di dalam kampus berupaya menjimatkan perbelanjaan universiti awam,” katanya.

“Fokusnya adalah pertingkat kualiti pendidikan dengan mewujudkan kerjaya kepada golongan belia. Kerajaan perlu menyuntik dana kepada peningkatan skil pekerja, pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET), fasiliti akses di kawasan pedalaman, dan infrastruktur digital.

“Kerajaan semestinya perlu lebihkan skop belanjawan ke arah digitalisasi, misalnya digitalisasi pendidikan dan digitalisasi perniagaan,” katanya ketika dihubungi MalaysiaNow.

Mengulas lanjut, Barjoyai berkata menjadi satu cabaran sukar kepada kerajaan untuk melindungi peruntukan pendidikan daripada terjejas dengan perbelanjaan “gergasi” memerangi Covid-19.

Bagaimanapun katanya, dalam jangka masa panjang kerajaan boleh mencari kaedah baru untuk menjana dana kewangan kepada sektor-sektor lain yang terkesan akibat pandemik itu.

Katanya, dalam jangka masa singkat, ia susah untuk mencari penyelesaian segera atau mencari sumber baru pendapatan kerana kerajaan perlu memotong perbelanjaan untuk memerangi wabak Covid-19.

Dalam pada itu, ahli ekonomi Yeah Lim Keng dari Universiti Sunway berkata anggaran Belanjawan 2021 terhadap sektor pendidikan dijangka tidak mengalami perubahan besar memandangkan kepentingan sektor itu terhadap pembangunan modal insan negara.

“Jadi, adalah lebih baik untuk meningkatkan perbelanjaan defisit supaya sektor sosial dan pendidikan dibekalkan dengan dana operasi dan pembangunan yang mencukupi. Ini penting untuk memastikan kestabilan sosial dengan melindungi orang miskin dan pengangguran,” katanya kepada MalaysiaNow.

Katanya, pendidikan bukan sahaja berupaya mengatasi cabaran disebabkan Covid-19 tetapi juga menyesuaikan diri dengan persekitaran berasaskan teknologi digital baru dan pembelajaran di rumah.

Menurutnya kerajaan juga boleh menangguhkan perbelanjaan sektor lain yang kurang kritikal seperti ketenteraan dan infrastruktur yang boleh meningkatkan pertumbuhan ekonomi dalam masa terdekat.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.