Persoalan timbul sama ada bekas menteri pendidikan, Maszlee Malik masih bersama Pejuang, sekumpulan ahli Parlimen Bersatu yang berpihak kepada Dr Mahathir Mohamad.
Ini berlaku selepas ahli Parlimen Simpang Rengam itu tidak bersama-sama menandatangani satu kenyataan dikeluarkan Pejuang semalam, parti baru diketuai Mahathir.
Dalam kenyataan itu, Mahathir, anaknya Mukhriz, Ahli Parlimen Kubang Pasu Amiruddin Hamzah dan Ahli Parlimen Sri Gading Shahruddin Md Salleh menggesa kandungan Belanjawan 2021 diteliti terlebih dahulu sebelum keputusan untuk memberikan sokongan dibuat.
“Kami merasakan memberi persetujuan tanpa terlebih dahulu meneliti isi kandungan belanjawan tersebut adalah tidak bertanggungjawab,” kata kenyataan itu.
Pejuang juga menyokong saranan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan agar tidak meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil Batu Sapi di Sabah supaya tidak menyebabkan kluster baru Covid-19 terbentuk.
Bulan lepas MalaysiaNow mendedahkan Maszlee menandatangani akuan bersumpah (SD) bagi menyokong Presiden PKR Anwar Ibrahim untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Langkah itu dilihat mengeruhkan lagi hubungan Maszlee dengan Mahathir yang sebelum ini memintanya meletakkan jawatan sebagai menteri pendidikan, dua bulan sebelum kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang.
Satu sumber yang dekat dengan Pejuang memberitahu MalaysiaNow ketiadaan Maszlee dalam kenyataan itu tidak mengejutkan.
“Lagipun Maszlee tanda tangan SD anwar. Landasan tak sama (dengan ahli Parlimen Pejuang),” katanya.
Percubaan untuk mendapatkan komen Maszlee tidak berjaya.