- Iklan -
Berita

Pelantikan Najib sebagai pengerusi BNBBC malukan Parlimen Malaysia, kata Kit Siang

Najib berdepan dengan 42 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dengan skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ketika menjadi perdana menteri.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Najib Razak. Gambar: AFP
Bekas perdana menteri Najib Razak. Gambar: AFP

Ahli Parlimen veteran DAP Lim Kit Siang hari ini menyelar pelantikan bekas perdana menteri terpalit rasuah, Najib Razak sebagai pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) dan meminta Parlimen agar tidak mengiktirafnya.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, pelantikan Najib membuktikan integriti dan agenda anti-rasuah adalah prinsip yang sangat jauh daripada Umno, MCA, dan MIC.

“Apa yang membuatkan pelantikan ini lebih mengejutkan dan memalukan adalah dibuat tiga bulan selepas pendakwaan dan penjatuhan hukuman 12 tahun penjara dan denda RM210 juta kepada Najib pada 28 Julai yang lalu atas kesalahan rasuah, pengubahan wang haram, dan penyalahgunaan kuasa berkaitan dengan kes SRC-1MDB yang bernilai RM42 juta,” kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.

“Parlimen tidak sepatutnya mengiktiraf pelantikan Najib sebagai pengerusi BNBBC memandangkan perkara ini akan memalukan Parlimen negara kita”.

Lim berkata, Najib dianggap sebagai pencuri utama dalam skandal 1MDB oleh pihak kerajaan Amerika Syarikat (AS) yang menggelarnya sebagai Malaysian Official 1 (MO1).

BN mempunyai 43 ahli Parlimen tetapi 20 daripadanya memegang jawatan dalam kerajaan.

Baki 23 ahli Parlimen BN akan menentukan perbahasan Belanjawan 2021, yang akan mengangkat suara dan tuntutan Umno.

Sebagai pengerusi BNBBC, Najib berperanan menentukan hala tuju perbahasan dengan mengatur pembahas dan perkara yang akan mereka bangkitkan, serta susunan pembahas.

Najib berdepan dengan 42 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dengan skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ketika menjadi perdana menteri.

Lim berkata, Najib dianggap sebagai pencuri utama dalam skandal 1MDB oleh pihak kerajaan Amerika Syarikat (AS) yang menggelarnya sebagai Malaysian Official 1 (MO1).

“Dan Malaysia menantikan pemulangan semula oleh AS$4.5 bilion yang dialihkan secara haram daripada 1MDB daripada kerajaan Amerika Syarikat dan kita sudah menerima AS$620 juta setakat hari ini.

“Pelantikan Najib sebagai pengerusi BNBBC dan pengiktirafan pelantikan ini oleh pihak Parlimen adalah satu perkara yang jelas bertentangan dengan ‘membawa keadilan kepada rakyat Malaysia’,” katanya.